sukan

TERKINI ACLE : Keputusan penuh aksi JDT berdepan PORT FC di SSI

Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah kelab dari Thailand, Port FC 3-0 dalam aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara- Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Xisco Munoz mengumpul tujuh mata dan melonjak ke tangga kedua kumpulan Zon Timur buat seketika manakala skuad kendalian Bozidar Bandovic masih dengan tanpa sebarang mata selepas tewas kali ketiga berturut-turut.

JDT melakukan serangan menerusi kapten, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-11 yang bergerak secara solo sebelum masuk ke dalam kotak penalti namun bola sepakan lintang gagal disambat Shahab Zahedi yang sekadar melihat melintas di depannya.

Memasuki minit ke-28 bermula dengan bola umpanan Zahedi menyaksikan Arif Aiman yang berada di posisi terbaik di luar kotak penalti merembat bola kencang tepat ke gawang gol namun Michael Falkesgaard lebih pantas apabila melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Larian solo Arif Aiman bemula di kawasan tengah pada minit ke-41 dan mampu memperdayakan Chaiyaphon Otton sebelum masuk ke dalam kotak tetapi bola rembatan leret kapten JDT itu berjaya ditampan Falkesgaard yang menjadi duri dalam daging buat anak didik Munoz.

Bersambung babak kedua, Port FC hampir menjaringkan gol pada minit ke-47 selepas bola tendangan Bruno Moreira terkena Nacho Mendez yang menyebabkan bola menuju ke gawang gol JDT, mujur palang gol menjadi penghalang ketika Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah terpaku di gawang sendiri.

Selepas bertali arus mengasak kubu Port FC, akhirnya JDT berjaya merungkai jaringan pada minit ke-52 berpunca daripada bola sepakan lintang Arif Aiman membolehkan Jonanthan Glauder yang tidak dikawal melakukan sepakan voli tepat ke penjuru kanan menewaskan Falkesgaard.

Harimau Selatan terus mengganas pada minit ke-62 apabila sepakan lintang Arribas membuka ruang buat pemain gantian, Bergson da Silva yang bijak mencari ruang dan menanduk bola terkena kaki Peerawat Akkratum menyaksikan bola bergolek masuk gagal diselamatkan Falkesgaard.

Walaupun Port FC berjaya merobek gawang JDT hasil jaringan pemain gantian, Jude Soonsup-Bell namun semakan video bantuan pengadil (VAR) oleh pengadil, Alireza Faghani dari Australia membatalkan jaringan ttu dan kedudukan 2-0 yang memihak JDT kekal.

Serang balas pantas JDT ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan, bermula dari larian Marcos Guilherme yang mengumpan bola kepada pemain gantian Matias Nahuel bertindak melorongkan bola kepada Stoichkov yang langsung tidak di kawal mudah menendang bola leret menewaskan Falkesgaard untuk memastikan kemenangan 3-0 memihak anak didik Munoz.