sukan

TERKINI: AFC dedah laporan audit terhadap FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh dianggap mengalami “sakit kronik” selepas berdepan pelbagai kelemahan sistemik membabitkan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan audit menyeluruh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany pada Kongres Luar Biasa FAM, hari ini.

Dalam pembentangan itu, Vahid menjelaskan masalah yang dihadapi badan induk bola sepak negara bukan berpunca daripada satu jabatan tertentu, sebaliknya kegagalan berulang merentasi hampir keseluruhan struktur organisasi.

Menurut laporan berkenaan, kelemahan FAM bersifat sistemik dengan isu tadbir urus, akauntabiliti dan reka bentuk institusi yang menjejaskan keberkesanan operasi persatuan.

Audit turut mendapati beberapa fungsi kritikal banyak bergantung kepada individu tertentu, bukannya sistem tersusun, sekali gus mewujudkan risiko besar kepada kesinambungan operasi.

Antara dapatan lain adalah struktur tadbir urus wujud di atas kertas tetapi tidak pernah diluluskan secara rasmi atau dikuatkuasakan oleh Jawatankuasa Eksekutif, selain kuasa dan autoriti secara tidak formal tertumpu di peringkat tertinggi hingga mengetepikan garis pelaporan rasmi.

Laporan itu juga menyebut fungsi kritikal dibangunkan berasaskan individu, bukan institusi, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada individu utama merentasi jabatan.

Selain itu, tiada jabatan menyediakan pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti atau laporan prestasi, manakala dasar yang dirangka tidak diluluskan menyebabkan ia tidak boleh dikuatkuasakan serta terdedah kepada risiko perundangan.

AFC turut mendapati ketiadaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau kerangka pengukuran prestasi di mana-mana jabatan, selain kakitangan diberikan tanggungjawab tambahan tanpa pelarasan gaji atau semakan kapasiti kerja sewajarnya.

Laporan sama juga menyentuh kelemahan dalam perancangan penggantian kepimpinan apabila pengetahuan institusi tertumpu kepada dua atau tiga individu utama, selain budaya organisasi yang didakwa menghalang kakitangan daripada menyuarakan kebimbangan melalui saluran rasmi.