sukan

TERKINI: Beregu campuran mula langkah kanan di Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR: Tiga beregu campuran utama negara bermula langkah kanan untuk meneruskan kemaraan di Terbuka Jepun selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan pertama hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, beregu nombor enam dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang turun terlebih dahulu tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan wakil Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-15, 21-10 dalam masa 30 minit.

Turut mara ialah pasangan utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan Kevin Lee-Josephine Wu daripada Kanada, 21-15, 21-19.

Meskipun mencatat kemenangan, beregu keempat dunia itu dilihat masih melakukan beberapa kesilapan mudah sehingga hampir membenarkan lawan mengheret permainan ke set ketiga.

Sementara itu, beregu muda negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan ke atas wakil Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai dalam pertarungan tiga set 21-19, 12-21, 21-16, dalam masa 50 minit.

Kemenangan itu juga membolehkan mereka menghapuskan badi kekalahan di pusingan pertama dalam tiga kejohanan berturut-turut sebelum ini.

Malah, itu sudah pasti akan memberikan suntikan semangat untuk mereka menampilkan aksi lebih baik di pusingan seterusnya.

sumber:- HM

Namun begitu, jalan berliku terpaksa dihadapi oleh Pang Ron-Su Yin apabila mereka akan bertemu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.