TERKINI: CAS sah tolak rayuan Selangor FC

Hasrat Selangor FC (SFC) untuk menurunkan ‘pemain ke-12’ pada aksi Pusingan 16 Piala FA menentang Sabah FC malam esok tidak kesampaian selepas permohonan mereka untuk penangguhan pelaksanaan hukuman bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan, hari ini yang menjelaskan keputusan CAS itu dibuat menerusi Emergency Sole Arbitrator, semalam. (Isnin).

Keputusan ini sekali gus menyaksikan perlawanan terbabit yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong.

“Rayuan terbabit dibuat terhadap hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 15 November 2025 dan kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November 2025, susulan insiden yang melibatkan kelakuan penyokong serta penganjuran perlawanan.

“Permohonan secara kecemasan itu dibuat di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 dan sudah didengar pada jam 5.00 petang semalam, waktu Malaysia.

“Susulan keputusan terbabit, hukuman ke atas SFC untuk bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong bagi perlawanan Piala FA musim 2026/27 menentang Sabah FC pada 9 September 2026 di gelanggang sendiri kekal berkuat kuasa.

Dengan itu, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang difailkan oleh SFC ditolak oleh Emergency Sole Arbitrator berkenaan,” kata badan induk itu.

Bagaimanapun, FAM memaklumkan proses pendengaran penuh berhubung rayuan ‘The Red Giants’ terhadap kes terbabit masih terbuka dan akan diteruskan mengikut proses timbang tara yang ditetapkan.

Terdahulu, SFC berharap hukuman penggantungan dua perlawanan tanpa penyokong bagi saingan Piala FA dan denda RM10,000 yang dikenakan FAM dapat ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada AIAC bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang mengekalkan hukuman berkenaan.

Jelasnya, SFC melihat hukuman itu tidak adil dan mengambil langkah seterusnya dengan mengemukakan permohonan kepada AIAC.

Sebagai rekod, pada 15 November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, memaklumkan Selangor didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5 ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada suku akhir Piala FA.