sukan

TERKINI : Dua kelab Liga Malaysia dikenakan denda RM70,000

KUALA LUMPUR: Kelantan The Real Warriors FC (TRW) dan PDRM FC dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM70,000 oleh First Instance Body (FIB) selepas gagal mematuhi arahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan kewajiban menyerahkan Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan serta laporan kewangan yang diperlukan.

Kedua-dua kelab turut dikenakan larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua musim 2025-2026.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Bin Sheikh Mohd Sharif, dalam kenyataannya berkata, semua kelab Liga Super diminta untuk menghantar Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan bagi tempoh hingga September 2025 bersama Laporan Penyata Kewangan untuk bulan Ogos dan September 2025 pada tarikh penyerahan 16 Oktober lalu.

“Namun, selepas pemeriksaan laporan kewangan, FFP MFL mendapati Kelantan TRW dan PDRM FC masih mempunyai tunggakan gaji yang belum diselesaikan sejak musim lalu. Ia turut disahkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) melalui kerjasama dengan FFP MFL,” kata Sheikh Mohd
Beliau menambah, meskipun kedua-dua kelab telah diberikan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2025-2026, FFP MFL tidak menerima Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan daripada kedua-dua pasukan pada tarikh yang ditetapkan.

Katanya, FFP MFL telah mengeluarkan dua surat amaran menuntut bukti pembayaran atau pelan pembayaran tunggakan, namun tiada sebarang penyelesaian diterima.

“Artikel 14 Peraturan FFP MFL bagi musim 2025-2026 jelas menyatakan bahawa kegagalan mematuhi keperluan FFP MFL dalam tempoh pemantauan kewangan akan dianggap sebagai pelanggaran peraturan,” katanya.

Sehubungan itu, Sheikh Mohd Nasir, berkata FIB telah menjatuhkan denda pertama sebanyak RM10,000 kepada Kelantan TRW dan PDRM FC atas pelanggaran peraturan berkenaan, dengan memberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan tunggakan yang ada.

“Namun pihak FFP MFL masih belum menerima sebarang resit pembayaran atau pelan pembayaran daripada kedua-dua kelab tersebut dan atas sebab itu FIB telah memutuskan untuk mengenakan denda kedua sebanyak RM20,000.

“Oleh kerana FFP MFL tidak menerima sebarang maklumbalas daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC, FIB telah mengenakan denda ke atas kedua-dua kelab tersebut untuk kali ketiga sebanyak RM 40,000 serta larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua bagi musim 2025-2026,” katanya.

Kelantan TRW dan PDRM FC kini diberi tempoh sehingga 31 Disember 2025 untuk menyelesaikan isu tunggakan mereka.

Sheikh Mohd Nasir menegaskan bahawa jika kedua-dua kelab gagal mematuhi tarikh yang diberikan, tindakan lebih tegas akan diambil di bawah Artikel 14(1)(e) Peraturan FFP MFL untuk musim 2025-2026.