sukan

Terkini : FAM kena godam dan diugut

Dunia bola sepak tempatan digemparkan apabila laman pangkalan data rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan digodam oleh pihak tidak dikenali yang turut mengugut badan induk itu dengan mesej berunsur sindiran dan permintaan bayaran tebusan.

Serangan siber yang berlaku sebentar tadi menyasarkan Sistem Pengurusan Pertandingan (CMS-FAM), iaitu sistem utama yang menyimpan maklumat penting berkaitan aktiviti bola sepak negara. Walaupun laman utama FAM masih boleh dilayari, akses kepada CMS-FAM didapati terganggu selepas ia dipaparkan mesej amaran berbunyi, “Domain, pelayar atau pangkalan data sudah digodam.”

Mesej itu turut dikaitkan dengan isu hangat membabitkan pemain warisan Malaysia, yang sejak kebelakangan ini menjadi bahan perdebatan di media sosial. Penggodam bukan sahaja meninggalkan amaran keras, tetapi turut menulis kata-kata provokatif yang mempersoalkan kewibawaan FAM dalam mengurus isu pemain tersebut.

Antara mesej sinis yang ditinggalkan berbunyi: “Kenapa anda semua bdh? Anda semua main bola atau main kad pengenalan palsu? Adoi, apa hal pula mahu libatkan Indonesia? FIFA hukumlah FAM, bukan PSSI…”

Lebih mengejutkan, penggodam turut menuntut bayaran sebanyak $7,000 (RM29,500) sebagai syarat untuk memulihkan sistem berkenaan. Walau bagaimanapun, mesej tersebut dilaporkan hilang tidak lama selepas kejadian, menimbulkan persoalan sama ada ia telah dipadam oleh pihak FAM atau penyerang sendiri.

Sistem CMS-FAM dianggap nadi kepada operasi bola sepak di Malaysia kerana ia menyimpan rekod penting seperti data pemain, statistik perlawanan, pendaftaran pasukan, serta dokumen rasmi pertandingan yang digunakan oleh semua entiti di bawah FAM.

Serangan ke atas sistem ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan maklumat sensitif, termasuk risiko kebocoran data pemain dan pegawai pasukan. Dalam era digital yang semakin kompleks, serangan siber terhadap organisasi sukan semakin meningkat, dan insiden seperti ini membuktikan betapa pentingnya perlindungan data yang kukuh dalam sektor sukan negara.