KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara yang ‘pelik’ dalam rantau ASEAN apabila tidak memiliki satu pun wakil kelab bola sepak sebagai ahli gabungan dalam struktur keahlian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Situasi ini menyaksikan FAM boleh dianggap ‘setaraf’ dengan Persatuan Bolasepak Sri Lanka (FFSL) yang juga tidak memiliki wakil kelab sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak mereka.
Perkembangan itu didedahkan oleh Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Vahid Kardany apabila membandingkan struktur keahlian persatuan bola sepak seluruh rantau ASEAN pada Kongres Luar Biasa FAM, hari ini.
Berdasarkan data dipaparkan AFC, FAM mempunyai 14 ahli gabungan terdiri daripada persatuan bola sepak negeri, namun tiada waki kelab berbanding kebanyakan negara jiran yang memberi peluang kepada kelab untuk menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam badan induk masing-masing.
Sebagai contoh, Indonesia mempunyai 43 kelab sebagai ahli gabungan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) manakala Thailand memiliki 69 kelab dan Singapura 31 kelab.
Vietnam turut mempunyai 39 kelab sebagai ahli gabungan sementara Myanmar mempunyai 31 kelab dan Filipina dengan 12 kelab.
Situasi itu menyaksikan FAM menjadi satu daripada segelintir persatuan di rantau ini yang masih bergantung sepenuhnya kepada persatuan negeri sebagai komponen utama keahliannya.
Malah, jumlah keseluruhan ahli gabungan FAM juga hanya 20 ahli gabungan, jauh lebih rendah berbanding Thailand yang mempunyai 70 ahli gabungan, Vietnam dengan 61 ahli gabungan dan Indonesia pula 82 ahli gabungan.