sukan

TERKINI: Gabriel Palmero sah sertai skuad The Cats

Kuching City FC secara rasmi mengesahkan penandatanganan pemain warisan negara, Gabriel Palmero, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai masa depan pemain kelahiran Sepanyol itu.

Pengesahan tersebut dibuat menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Kuching City FC sebentar tadi, yang menyaksikan Palmero kini sah menjadi sebahagian daripada skuad The Cats bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Sebelum ini, daripada tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dibenarkan beraksi semula, Palmero merupakan satu-satunya pemain yang masih belum menemui kelab baharu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju kariernya.

Khabar angin mengenai penyertaan Palmero ke Kuching City FC semakin rancak diperkatakan apabila pemerhatian di media sosial mendapati pemain berkenaan turut mengikuti akaun rasmi kelab itu di Instagram, sekali gus menguatkan petunjuk perpindahannya.

Sebelum ini, Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, tidak menolak kemungkinan pasukannya mendapatkan khidmat pemain Malaysia yang beraksi di luar negara bagi memperkuatkan pasukan.

Kehadiran Gabriel Palmero dijangka mampu menambah dimensi baharu kepada jentera Kuching City FC, khususnya dari segi variasi serangan dan pengalaman antarabangsa, dalam usaha pasukan Sarawak itu untuk bersaing lebih kompetitif dalam saingan Liga Super musim ini.