sukan

TERKINI : Genevie Lim-Zi Yu lakar sejarah mara ke Final

Low Zi Yu kembali berada di pentas final Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila pemain berusia 16 tahun itu melakar pencapaian luar biasa mara ke perebutan gelaran beregu wanita buat kali ketiga berturut-turut.

Kali ini, Zi Yu bersama Genevie Lim menempah tiket final selepas menundukkan wakil China, Shi Si Chen-Xiang Yu Jin, menerusi kemenangan straight set 15-9, 15-11 pada separuh akhir di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir.

Pasangan pilihan kedua negara itu tidak membenarkan lawan dari China mengheret perlawanan ke set penentuan dan berjaya melaksanakan tugas dalam dua set.

Kemenangan tersebut membawa Zi Yu sekali lagi ke perlawanan terbesar dalam saingan individu Kejohanan Dunia Remaja.

Namun, final kali ini membawa makna jauh lebih besar buat pemain muda negara itu.

Zi Yu sudah dua kali merasai pengalaman berada hanya satu kemenangan daripada gelaran dunia tetapi kedua-duanya berakhir dengan pingat perak.

Pada 2024, dia bergandingan dengan Dania Sofea Zaidi dan mara sehingga final sebelum menamatkan kejohanan sebagai naib juara.

Zi Yu kembali ke final pada edisi 2025 bersama Noraqilah Maisarah Ramdan, tetapi sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua.

Perubahan pasangan pada edisi kali ini tidak menghalangnya meneruskan konsistensi luar biasa tersebut.

Bersama Genevie, Zi Yu sekali lagi membuktikan dirinya sebagai antara pemain beregu wanita remaja paling konsisten negara dengan berjaya mara ke final untuk tahun ketiga berturut-turut.

Di separuh akhir, Zi Yu-Genevie tampil meyakinkan dengan mengambil set pertama 15-9.

Pasangan China cuba memberikan tentangan lebih kuat dalam set kedua, namun wakil negara terus mengekalkan kelebihan sebelum memastikan kemenangan 15-11.

Kini hanya satu perlawanan memisahkan mereka daripada gelaran dunia.

Lawan di final akan ditentukan menerusi satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Nijika Kamata-Shizuku Kashio dari Jepun dan pasangan Korea Selatan, Choi Ye Da-Kim Min Chae.

Bagi Genevie, ia menjadi peluang untuk memburu gelaran dunia bersama Zi Yu.

Bagi Zi Yu pula, pertaruhannya mempunyai cerita tersendiri.

Tiga tahun, tiga final dan tiga pasangan berbeza menunjukkan tahap konsistensi yang cukup tinggi pada usia hanya 16 tahun.

Namun, selepas dua pingat perak berturut-turut, sasaran kali ini sudah pasti berbeza.

Final di Kaherah menjadi peluang terbaru buat Zi Yu untuk akhirnya menukar kilauan perak yang diperoleh pada dua edisi lalu kepada emas Kejohanan Dunia Remaja.