Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya terus mendominasi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila membelasah Laos 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam tadi.
Kemenangan itu adalah yang keempat untuk mengekalkan rekod bersih dengan kini mengumpul 12 mata maksimum dan kekal berada di tangga pertama kumpulan, sekaligus semakin hampir ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.
Begitupun kejayaan yang dilakar itu bukan mudah apabila anak buah Peter Cklamovski terpaksa bangkit daripada ketinggalan dengan Faisal Halim membawa impak berkesan khususnya di babak kedua.
Sebaik wisel perlawanan ditiupkan, tuan rumah tidak menunggu lama apabila memberi amaran awal menerusi rembatan deras Romel Morales di minit keempat yang berjaya ditepis Kop Lokphathip.
Enam minit kemudian giliran ketua pasukan negara, Dion Cools yang mengambil sepakan percuma tetapi sekali lagi dihalang Lokphathip.
Gawang negara yang tidak pernah dibolosi dalam tiga aksi terdahulu, akhirnya bocor juga menerusi rembutan Chanthavixay Khounthoumphone yang terkena kepala Shahrul Saad buat menumpaskan Syihan Hazmi pada minit 20.
Aksi lebih menyengat ditampilkan pasukan negara sebaik babak kedua bermula dan Faisal menjadi inspirasi kepada kebangkitan itu.
Faisal yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama sejak insiden simbahan asid Mei tahun lalu berjaya mengikat kedudukan 1-1 hasil sepakan percuma cantik di depan kotak penalti di minit 59.
Ia adalah gol kedua berturut-turut oleh pemain Selangor FC itu selepas turut meledak satu gol ketika menewaskan Laos 3-0 di Vientiane, Khamis lalu.
Morales yang terlepas beberapa peluang akhirnya menebus kehampaan apabila meledak gol kedua di minit 65 hasil gerakan bertukar-tukar hantaran yang mengelirukan lawan sebelum melepaskan rembatan leret ke penjuru gawang.
Faisal sekali lagi menghadirkan cemas apabila rembatan jarak jauhnya di minit 69 hampir menemui sasaran namun Lokphathip sempat menepis percubaan itu.
Seminit kemudian, Romel yang juga penyerang naturalisasi negara sekali lagi menggamatkan SNBJ menerusi gol ketiga selepas dia mudah menolak masuk bola hasil situasi kelam kabut daripada sepakan sudut.
Kesilapan pertahanan Laos, Khammanh Thapaseut yang menanduk ke belakang gagal dibaca Lokphathip buat menambah gol negara di minit 79.
Paulo Josue yang dibawa masuk tidak menunggu lama apabila dia melengkapkan malam sempurna pasukan negara dengan gol kelima di minit 82 selepas dia menyempurnakan bola muntah yang dirembat Quentin Cheng.
Kelebihan besar itu kekal hingga wisel penamat dan selepas ini skuad negara akan bertemu Nepal yang dijadual berlangsung bulan depan.