Indonesia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dilayangkan kad merah, namun Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan berkenaan apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di sini, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, skuad kendalian Tan Cheng Hoe terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Justin Hubner pada minit keempat ketika berlaku kekalutan di depan pintu gol Malaysia, namun gol itu dibatalkan pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko.
Harimau Malaya kemudian hampir membuka akaun gol pada minit ke-12 menerusi aksi individu Arif Aiman Hanapi yang melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan, namun percubaannya ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.
Sorakan puluhan ribu penyokong Indonesia yang sebelum itu bergema di GBK seketika terhenti apabila Malaysia terus mengancam kubu tuan rumah.
Bergson da Silva turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-16 selepas menerima umpanan Faisal Halim, namun penyerang itu terlepas peluang untuk menanduk masuk bola bagi memberikan Malaysia pendahuluan.
Indonesia selepas itu lebih banyak mengancam dari sebelah kanan dengan beberapa hantaran silang ke dalam kawasan penalti, namun benteng negara diketuai Dion Cools kekal tenang untuk mengekang asakan skuad kendalian John Herdman.
Pada masa sama, kelincahan Arif Aiman terus menjadi ancaman kepada pertahanan Indonesia apabila beberapa gerakannya berjaya mengucar-kacirkan benteng tuan rumah, namun masih gagal menghasilkan jaringan.
Indonesia kemudian menerima tamparan besar pada minit ke-35 apabila Haye dilayangkan kad merah selepas mengasari Arif Aiman.
Pengadil, pada awalnya memberikan kad kuning kepada pemain nombor 19 Indonesia itu sebelum semakan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan dan mendapati terjahan terbabit wajar dihukum dengan kad merah.
Kelebihan seorang pemain bagaimanapun gagal dimanfaatkan Malaysia dalam tempoh lapan minit terakhir separuh masa pertama apabila Indonesia segera melakukan perubahan dengan memasukkan Ivar Jenner bagi menggantikan Ragnar Oratmangoen.
Malah, pemain tuan rumah, Dean James pula hampir memecah kebuntuan gol apabila sepakannya hampir menerjah gawang namun sempat ditepis penjaga gol Syiham Hazmi.
Malaysia pula terus mengasak pada baki masa tambahan separuh masa pertama, namun benteng Indonesia kekal bertahan sehingga wisel separuh masa dibunyikan dengan kedudukan masih 0-0.