sukan

Terkini: Izzuddin-Sze Fei mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sekali lagi menjadikan gandingan ‘junior’ sebagai mangsa sebelum menempah tiket separuh akhir Terbuka China, hari ini.

Pada aksi suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 BWF itu, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan pilihan ketujuh kejohanan menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee 21-19,21-18.

Kekalahan itu turut menamatkan rentak cemerlang Wei Chong-Wun Tee yang sebelum ini berjaya menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae untuk mara ke suku akhir.

Berdasarkan rekod, ini adalah pertemuan rasmi kedua Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-12 dunia bertemu Wei Chong-Wun Tee.

Dan menurut kedudukan ranking semasa Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kedudukan ranking terbaharu Wei Chong-Wun Tee adalah di tangga ke-13 dunia.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua gandingan ini bertemu adalah di Terbuka Jerman pada 2022 dengan Sze Fei-Izzuddin meraih kemenangan 21-13,21-17 sebelum keputusan hampir sama diulang di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, hari ini.

sumber:-BH

Semalam, Sze Fei-Izzudin turut menyingkirkan gandingan negara, Arif Junaidi-Yap Roy King untuk mara ke suku akhir.