TOKYO: “Bagaimana seorang petarung elite boleh bersiap untuk perebutan tali pinggang dunia dengan cara sebegini?”
Itu antara teguran paling keras yang dikaitkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, terhadap Rifdean Masdor selepas minggu penuh kontroversi yang dilalui petarung negara di ONE Samurai 4.
Chatri dilaporkan begitu tidak berpuas hati apabila mengetahui Rifdean datang ke Tokyo tanpa jurulatih, pasukan sokongan dan cornerman untuk menghadapi pertarungan paling besar dalam kariernya.
Situasi itu menjadi lebih buruk apabila Rifdean turut gagal mencapai berat dalam tempoh rasmi sebelum pertarungannya menentang juara dunia ONE Atomweight Muay Thai, Yoshinari Nadaka.
ONE Championship mengesahkan selepas tempoh rasmi berakhir, Rifdean akhirnya lulus ujian hidrasi tetapi beratnya dicatatkan pada 118.6 paun.
Akibatnya, Rifdean tidak lagi layak memenangi tali pinggang walaupun pertarungan diteruskan.
Bagi Chatri, perkara itu tidak boleh dipandang sebagai kesilapan kecil apabila seseorang atlet sudah diberikan peluang bertarung untuk gelaran dunia.
Berdasarkan transkripsi kenyataan yang dikongsikan, beliau berkata:
“Dia gagal dalam ujian hidrasi dan berat badan. Bukan itu sahaja, dia datang ke Tokyo secara solo—tanpa jurulatih, tanpa pasukan, dan tanpa cornerman untuk menjaga kebajikannya.
“Bagaimana seorang petarung elite boleh bersiap untuk perebutan tali pinggang dunia dengan cara sebegini? Pasukan anda adalah orang yang bertanggungjawab memastikan diet, berat, hidrasi, dan strategi anda berada pada tahap optimum.”
Teguran itu menggambarkan bahawa bagi Chatri, seorang petarung profesional bukan hanya dinilai berdasarkan keberanian atau kemampuannya bertarung.
Persediaan sebelum memasuki gelanggang turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab.
Rifdean sebenarnya memberikan tentangan kepada Nadaka dan menyerang secara agresif sejak pusingan pertama.
Namun, juara Jepun itu sempat menjatuhkannya dengan tumbukan kiri sebelum menamatkan perlawanan menerusi tendangan kiri ke kepala pada 58 saat pusingan kedua.
Selepas kekalahan itu, Rifdean dikatakan meminta peluang rematch.
Permintaan tersebut ternyata menambahkan rasa tidak puas hati Chatri.
“Apabila dia tewas secara KO dan kemudiannya menuntut perlawanan semula (rematch) dengan alasan berat badannya tidak ideal, jawapan saya adalah tidak. Pintu rematch ditutup buat masa ini.
“Sukan ini menuntut tahap profesionalisme yang tinggi. Anda tidak boleh mengabaikan asas pengurusan atlet, kalah secara KO, dan kemudian mengharapkan jalan pintas untuk kembali merebut kejuaraan dunia.”
Kenyataan itu cukup jelas menunjukkan Chatri tidak mahu memberikan Rifdean satu lagi perebutan gelaran hanya berdasarkan permintaan.
Lebih-lebih lagi selepas apa yang berlaku di Tokyo.
Apa yang menjadikan situasi ini lebih mengecewakan ialah Chatri sebelum ini memberikan kepercayaan besar kepada petarung berusia 23 tahun itu.
Rifdean memasuki ONE Samurai 4 dengan lima kemenangan berturut-turut selepas kemenangan KO dalam tempoh 94 saat ke atas Javad Mozafari membolehkannya mendapatkan kontrak utama bernilai enam angka bersama ONE.
Dia kemudian terus diberikan peluang menentang Nadaka.
Tetapi daripada peluang untuk mencipta sejarah, Rifdean kini berdepan satu cabaran lain — mendapatkan semula keyakinan pengurusan tertinggi ONE.
Chatri dilaporkan menegaskan Rifdean perlu pulang, membina semula reputasi dan menunjukkan bahawa dia benar-benar mampu bertindak sebagai atlet profesional sebelum bercakap mengenai satu lagi peluang di pentas kejuaraan dunia.