sukan

TERKINI : Justin Hoh cipta kejutan keatas pemain dari China di terbuka Korea

Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh mempamerkan semangat juang luar biasa apabila menewaskan pemain China Wang Zheng Xing dalam aksi pusingan pertama Korea Open 2025 dengan keputusan straight set, 21-6, 21-19 dalam masa 40 minit.

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi permulaan cemerlang buat Justin dalam kejohanan berstatus BWF World Tour Super 500, tetapi juga menandakan kejayaan sulung beliau ke atas pemain ranking ke-19 dunia itu, sekali gus mendahului 1-0 dalam rekod pertemuan (H2H).

Set pertama menyaksikan Justin tampil dengan keyakinan tinggi dan kawalan gelanggang yang kemas. Beliau tidak memberi ruang kepada Wang untuk membina momentum, memaksa lawan melakukan kesilapan demi kesilapan. Dengan pukulan tajam dan permainan jaring yang agresif, Justin menutup set pertama dengan kemenangan besar 21-6.

“Saya tahu perlu bermula dengan tempo tinggi untuk ganggu rentak Wang. Fokus saya ialah kawal permainan dari awal,” kata Justin selepas perlawanan.

Masuk set kedua, Wang mula bangkit dan memberi tentangan lebih sengit. Beberapa kali kedudukan terikat, namun Justin kekal tenang dan bijak mengatur strategi. Ketajaman pukulan silang dan keupayaan membaca permainan lawan menjadi pemisah apabila beliau menamatkan set dengan kemenangan 21-19.

Jurulatih Hendrawan memuji kematangan taktikal Justin yang semakin menyerlah sejak kembali daripada kecederaan tahun lalu.

“Dia semakin matang dalam membuat keputusan di gelanggang. Ini kemenangan penting untuk keyakinan dan rankingnya,” ujar Hendrawan.

Dengan kemenangan ini, Justin mara ke pusingan kedua dan dijangka berdepan pemain dari Jepun atau Korea Selatan yang memiliki gaya permainan pantas dan teknikal tinggi. Kemenangan ke atas pemain Top 20 dunia ini juga memberi mata penting kepada ranking beliau, yang kini berada di tangga ke-37 dan berpotensi melonjak ke Top 30 jika mara ke suku akhir.