ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan apabila mudah meratah pendatang baharu, Kelantan Red Warrior FC (KRW) 9-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-0 sekali gus mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali ke-11 dalam aksi Sumbangsih yang juga pembuka tirai liga, skuad kendalian Xisco Munoz menjadikan anak didik Irfan Bakti Abu Salim mangsa kedua bagi memastikan tiga mata menjadi milik Harimau Selatan.
Kesungguhan JDT memburu kemenangan bermula pada minit pertama perlawanan yang dimulakan gerakan Jairo da Silva melorongkan bola kepada Juan Molina yang sempat menolak bola untuk Shahab Zahedi merembat leret menewaskan penjaga go KRW, Amin Faisal Mohd Saudi.
Tersentak dengan jaringan awal itu, KRW cuba bangkit menerusi serangan balas pada minit ke-14 namun bola rembatan deras Muhammad Rizuan Muda di posisi sayap kiri melepasi palang gol dan mengundang cemas penjaga gol tuan rumah, Christian Abad.
Zahedi hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-21 selepas menerima bola umpanan Manuel Hidalgo namun bola rembatan leret pemain kelahiran Iran itu di penjuru kiri gawang menyaksikan Amin Faisal sempat merebahkan badan untuk menepis bola keluar.
Walaupun skuad Harimau Selatan menjaringkan gol pada minit ke-27 namun gol yang dihasilkan Eddy Israfilov dibatalkan pengadil perlawanan, Firdaus Dahlan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Usaha berterusan JDT memburu gol kedua, akhirnya menjelma pada minit ke-36 selepas tindakan bijak kapten Arif Aiman Hanapi melakukan sepakan lambung membolehkan Zahedi yang tidak dikawal menanduk bola untuk mencetak gol kedua peribadi.
Sebelum kedua-dua pasukan melangkah masuk ke bilik persalinan bagi mengakhiri babak pertama, malang menimpa KRW apabila Muhammad Mohd Fauzi tertampan bola ke gawang sendiri selepas cuba untuk mengeluarkan hantaran lintang Jonathan Silva dan jaringan itu memberi kelebihan JDT mendahului 3-0.
Bersambung babak kedua, anak didik Munoz tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-49 berpunca daripada bola sepakan sudut Hidalgo menyaksikan Jairo da Silva melonjak tinggi untuk menanduk bola.
Selang seminit kemudian, Zahedi menyerlahkan sentuhan berbisanya apabila mencipta hatrik apabila menyudahkan bola hantaran Hidalgo di posisi tengan dengan merembat bola kencang yang meletakkan tuan rumah selesa dengan kedudukan 5-0.
JDT terus mengganas pada minit ke-61 apabila mencipta gol keenam perlawanan menerusi gerakan dimulakan Molina yang melorongkan bola kepada pemain gantian, Afiq Fazail sebelum membuka ruang untuk Zahedi menjaringkan gol keempat peribadi.
Anak didik mengambil kesempatan daripada kelemahan benteng KRW apabila mudah menjaringkan gol pada minit ke-77 selepas bola umpanan Arif Aiman membolehkan pemain gantiian, Matias Nahuel yang pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti bertindak merembat bola kencang untuk jaringan ketujuh.
Arif Aiman terus menjadi pencetus jaringan skuad Harimau Selatan selepas bola sepakan sudut pada minit ke-80 menyaksikan Israfilov bertindak melonjak tinggi dan menanduk bola kencang menewaskan Amin Faisal untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 8-0.
Selepas memainkan peranan selaku pencetus jaringan, kali ini Arif Aiman berjaya memecah kebuntuan jaringan peribadi pada minit ke-89 apabila menyudahkan bola umpanan pemain gantian Bergson da Silva dan jaringan kesembilan Harimau Selatan melengkap malam gemilang anak didik Munoz.