sukan

Terkini: Keputusan aksi Izzuddin-Sze bertemu gandingan dari Jepun

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei menepati ramalan apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Artik di Vantaa, Finland, sebentar tadi.

Bagaimanapun, juara Terbuka China itu diberi tentangan sengit oleh gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura sebelum menang 21-16, 21-16 dalam tempoh 41 minit pada aksi pusingan kedua di Vantaan Energia Areena.

Tampil sebagai pilihan kelima, Izzuddin-Sze Fei dilihat ‘lambat panas’ apabila ketinggalan 2-5 pada awal set pertama sebelum bangkit untuk mendahului 12-8 dan seterusnya menang 21-16.

Memasuki set kedua, pasangan negara yang menduduki ranking nombor lapan dunia itu tampil garang apabila mendahului 6-1 tetapi Mitsuhashi-Okamura enggan mengaku kalah apabila bangkit untuk merapatkan kedudukan 9-11.

Bagaimanapun, Izzuddin-Sze Fei memperkemaskan corak permainan mereka dan berjaya menjarakkan kedudukan untuk melengkapkan kemenangan 21-16.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dengan beregu Denmark, Rasmus Espersen-Christian Faust Kjaer bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

sumber:-BH

Izzuddin-Sze Fei kini dalam misi memburu gelaran juara ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Jepun pada Ogos dan Terbuka China, bulan lalu.