KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara meneruskan momentum kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026 apabila menewaskan Hong Kong 1-0 di Padang 3, Vietnam YFTC, Hanoi, sebentar tadi.
Harimau Malaya B-16 yang membuka saingan Kumpulan C penuh bergaya apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 13-0, Sabtu lalu bagaimanapun berdepan ujian sebenar pertama dengan mereka dipaksa bekerja keras oleh Hong Kong.
Skuad kendalian Javier Jorda Ribera terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila rembatan jarak dekat ketua pasukan, Arayyan Hakeem Norizam diselamatkan penjaga gol Hong Kong, Tang Pui Chun.
Pui Chun terus bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan daripada pemain negara terutama rembatan jarak jauh yang dilakukan Muhammad Iman Muhammad Hapis pada masa kecederaan babak pertama.
Tindakan Ribera membawa masuk Mohamad Iman Danish Mohd Shukor membuahkan hasil apabila dia berjaya meledak gol pembukaan skuad negara selepas berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Hong Kong pada minit ke-65.
Harimau Malaya B-16 terus berusaha keras dan mencipta beberapa peluang lagi selepas itu, namun tidak berjaya disudahkan dengan jaringan.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata dan akan meneruskan cabaran menentang Macau, Rabu ini.