KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hampir dihukum selepas gagal mengekalkan fokus pada penghujung set kedua sebelum berjaya menempah slot ke separuh akhir Terbuka Macau, hari ini.
Turun selaku pilihan utama kejohanan, pasangan ranking ketiga dunia itu bagaimanapun kekal tenang dalam detik getir untuk menundukkan wakil Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-17, 22-20 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 34 minit.
Aksi bermula cukup meyakinkan buat Tang Jie-Ee Wei apabila mereka mendahului selesa 11-2 dan menoktahkan kemenangan 21-17 di set pertama.
Namun episod berbeza berlaku di set kedua dan ketika selesa mendahului 15-8, beregu negara mula kehilangan rentak apabila lawan bangkit merapatkan jurang.
Tang Jie-Ee Wei yang memiliki dua mata akhir ketika mendahului 20-18, gagal menamatkan permainan apabila Adnan-Indah kembali menyamakan kedudukan 20 sama sekali gus menjadikan perlawanan semakin mendebarkan.
Bagaimanapun, pengalaman jelas menjadi pemisah apabila mereka kembali tenang mengutip dua mata penting untuk memastikan kemenangan serta mengelak perlawanan diheret ke set penentuan.
Kemenangan itu bukan sahaja memastikan kemaraan ke separuh akhir, malah membuka peluang buat mereka untuk memburu slot final pertama musim ini selepas empat kali terkandas di pentas empat terbaik, masing-masing di Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.
sumber:- HM
Esok, cabaran lebih getir menanti apabila mereka bakal berdepan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje bagi perebutan tempat ke final.