KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke suku akhir Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan Singapura dalam aksi pusingan kedua hari ini.
Beregu profesional yang juga pasangan suami isteri itu, hanya memerlukan 31 minit untuk menumpaskan Terry Hee-Jin Yu Jia dengan straight set 21-14, 21-17 di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.
Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan pemenang antara rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin atau gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada suku akhir esok.
Selain Soon Huat-Shevon, tujuh lagi beregu negara turut beraksi dalam pusingan kedua hari ini membabitkan empat beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita.
Pemenang acara perseorangan akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$66,500 (RM282,978) manakala naib juara bakal menerima AS$32,300 (RM137,460).
Sementara itu, juara acara beregu pula bakal meraih AS$70,300 (RM299,148) manakala naib juara AS$33,250 (RM141,494).
sumber:- HM
Terbuka Jepun adalah kejohanan Siri Jelajah Dunia berstatus Super 750 dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan AS$950,000 (RM4 juta).