sukan

TERKINI: Keputusan aksi Sze Fei-Izzuddin pusingan pertama Terbuka Thailand 2026

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita di Stadium Nimibutr, Bangkok, hari ini.

Pasangan negara itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-15, 17-21, 21-12 dalam pertarungan yang berlangsung selama 56 minit.

Selepas menguasai set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin sedikit hilang rentak pada set kedua sekali gus memberi ruang kepada pasangan Jepun berkenaan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata sebelum beregu negara berjaya mendahului 11-10 ketika interval.

Momentum itu berjaya dimanfaatkan pasangan ranking tinggi negara berkenaan apabila terus memperkemaskan permainan untuk melebarkan jurang sehingga 18-12 sebelum menamatkan cabaran lawan.

Kemenangan itu sekali gus memastikan Sze Fei-Nur Izzuddin melangkah ke kelompok 16 terbaik kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Pasangan negara itu selepas ini dijadual berdepan wakil China, Huang Di-Liu Yang yang menewaskan pasangan tuan rumah, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-Nga 21-15, 21-8.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Wong Vin Sean gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen.

Gandingan baharu negara dari skuad kebangsaan itu memberikan tentangan sengit sebelum akur tewas 20-22, 26-24, 7-21 dalam aksi yang berlanjutan hingga set ketiga.