Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum berputus asa dalam perjuangan membabitkan tujuh pemain warisan negara yang digantung oleh FIFA. Walaupun rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menjadi medan utama, badan induk itu masih mempunyai satu lagi peluang terakhir – membawa kes ke Tribunal Persekutuan Swiss (SFT), mahkamah tertinggi Switzerland.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli, menjelaskan bahawa CAS ditubuhkan di Switzerland dan tertakluk kepada undang-undang negara tersebut. Justeru, keputusan CAS masih boleh dicabar di SFT, namun ruangnya amat terhad.
Menurut beliau, berdasarkan statistik, hanya enam peratus kes CAS dibawa ke SFT, dan kebanyakannya bukan berkaitan merit kes tetapi isu prosedur serta undang-undang.
“Rujukan ke SFT bukan kepada merit kes tetapi kepada isu-isu prosedur dan undang-undang. Ini bermakna, apa-apa isu mengenai fakta-fakta kes tidak boleh dibawa ke SFT,” katanya.
Antara perkara yang boleh dibawa ke SFT termasuk:
Isu bidang kuasa CAS untuk mendengar kes.
CAS melebihi kuasa atau hukuman yang dibenarkan.
Berlaku ketidakadilan semasa pendengaran, contohnya tidak diberi peluang berhujah.
Hukuman yang bertentangan dengan polisi awam.
Terdahulu, FAM menegaskan komitmen mereka untuk meneruskan perjuangan hingga ke peringkat terakhir demi kepentingan bola sepak negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata pihaknya sedia menerima dengan hati terbuka apa sahaja keputusan rayuan di CAS nanti, namun tetap meletakkan kepercayaan penuh kepada barisan peguam yang mewakili badan induk itu.
Kes ini berpunca daripada tindakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang pada September lalu mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Malaysia atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Selain digantung, setiap pemain turut didenda CHF 2,000 (RM10,411), manakala FAM dikenakan denda lebih besar iaitu CHF 350,000 (RM1.8 juta).
Rayuan awal yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA juga ditolak, sekali gus mengekalkan hukuman berat tersebut.
Skandal ini bukan sahaja menjejaskan reputasi FAM, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai integriti pentadbiran bola sepak negara. Kehilangan tujuh pemain warisan yang sepatutnya memperkuatkan skuad kebangsaan memberi kesan besar kepada perancangan jangka panjang, termasuk persiapan ke kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia.
Walaupun peluang di Tribunal Persekutuan Swiss amat tipis, langkah ini tetap menjadi harapan terakhir FAM untuk membela nasib tujuh pemain warisan. Apa jua keputusan kelak, kes ini akan kekal sebagai titik hitam dalam sejarah bola sepak Malaysia, namun juga sebagai pengajaran penting tentang kepentingan ketelusan dan integriti dalam pengurusan pemain.