sukan

TERKINI: Keputusan penuh aksi NSFC berdepan Kelantan City di Paroi

Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa menyalahkan diri sendiri selepas gagal melangkah ke suku akhir Piala FA meskipun menewaskan Kelantan City FC 3-2 dalam aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak memadai buat skuad Hobin Jang Hobin yang tersingkir dengan agregat 3-4 selepas tewas 0-2 pada aksi pertama.

NSFC tampil garang pada separuh masa pertama apabila meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan agregat, namun kebangkitan Kelantan City pada awal babak kedua merencatkan usaha tuan rumah.

Skuad kendalian Daniel Gimenez Alcaniz itu bermula baik apabila Yusuke Minagawa membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas menanduk masuk bola lontaran Muhammad Hairiey Hakim Mamat untuk menewaskan penjaga gol Kelantan City, Mohammad Fikri Che Soh.

NSFC kemudian memperoleh peluang terbaik untuk menambah jaringan apabila Akhyar Rashid dijatuhkan Mohammad Fikri dalam kawasan penalti.

Pengadil, Muhamad Ridzuan Husni terlebih dahulu merujuk VAR sebelum mengesahkan sepakan penalti buat tuan rumah.

Akhyar yang mengambil tanggungjawab itu tenang menyempurnakan sepakan untuk meletakkan NSFC di depan 2-0 pada minit ke-36, sekali gus menyamakan kedudukan agregat 2-2.

Bagaimanapun, Kelantan City enggan mengalah dan bangkit dengan dua gol pantas sebaik babak kedua bermula.

Dandy Arbdallah menghidupkan kembali peluang pasukan Liga A1 itu apabila menanduk masuk sepakan sudut Hadin Azman pada minit ke-52.

Seminit kemudian, kesilapan penjaga gol NSFC, Muhammad Azri Ghani yang berada jauh dari kawasan gol dihukum Muhammad Asraff Alifuddin Yasin menerusi percubaan jarak jauh kira-kira 40 meter untuk gol kedua pelawat.

Jaringan itu sekali gus mengembalikan kelebihan agregat kepada Kelantan City dan meletakkan NSFC dalam situasi sukar.

NSFC bagaimanapun tidak berputus asa dan kembali merapatkan jurang menerusi tandukan Park Yiyoung pada minit ke-89.

Namun, masa yang berbaki tidak cukup buat tuan rumah memburu satu lagi gol yang diperlukan untuk mengikat kedudukan agregat.

Kelantan City akhirnya bertahan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan agregat 4-3.