KUALA LUMPUR: Pemain tengah, Kingsley Schindler muncul wira buat Buriram United apabila jaringannya pada masa tambahan membawa pasukannya mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26.
Meskipun tewas 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan beraksi dengan sembilan pemain pada masa tambahan babak kedua di Arena Chang, gol tunggal Schindler itu membolehkan Buriram United mara ke final 4-3 secara agregat.
Ini menyaksikan impian JDT untuk memburu trofi keempat musim ini tidak kesampaian namun mereka akhirnya mengecapi kemenangan ke atas gergasi Thailand itu selepas enam pertemuan.
Keputusan ini menyaksikan final ‘All-Malaysian’ tidak menjadi kenyataan apabila Buriram United berdepan Selangor FC (SFC) untuk mempertahankan gelaran di final pada 20 dan 27 Mei ini.
Pada aksi terbabit, kesilapan Theerathon Bunmathan kehilangan bola dalam kawasan sendiri pada minit ke-27 nyaris mengundang padah apabila ia membolehkan Bergson da Silva melakukan percubaan jauh yang ditepis penjaga gol, Neil Etheridge.
JDT mendapat talian hayat di penghujung babak pertama apabila dihadiahkan penalti selepas pengadil, Kim Woo Sung meneliti insiden kekasaran Etheridge ke atas Guilherme menerusi monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).
Sepakan penalti itu disempurnakan Bergson untuk gol pembukaan perlawanan dan merapatkan agregat 2-3 sekali gus menuju ke bilik persalinan hanya dengan defisit satu gol.
Selepas rehat, usaha keras pelawat membuahkan hasil apabila Marcos Guilherme meledak gol kedua JDT dengan satu kuisan menewaskan Etheridge pada minit ke-61 sekali gus mengikat agregat 3-3.
Selepas ‘menadah’ dua gol sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan, Buriram United akhirnya mendapat gol pertama pada minit ke-97 hasil rembatan deras Kingsley Schindler menewaskan Syihan.
Buriram United bagaimanapun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain apabila Guilherme Bissoli dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-101 sebelum giliran Goran Causic menerima kad merah pada minit ke-114.
Tuan rumah mengekalkan kedudukan itu dengan sembilan pemain sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus mara ke final buat kali kedua berturut-turut.