sukan

TERKINI : Keputusan penuh aksi Terengganu FC berdepan Kelantan TRW

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) layak dilabel ‘gergasi’ Pantai Timur selepas membelasah Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak mengubah kedudukan skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang kekal di tempat ketiga Liga Super pada 13 mata selepas tujuh perlawanan.

TFC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Careca pada minit kesembilan, namun jaringan itu dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan pemain kelahiran Brazil itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun pada minit ke-22, TFC yang menguasai permainan berjaya mendapat gol pertama menerusi pemain pertahanan, Diego Landis yang merembat kencang dalam kotak penalti hasil sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Azfar Arif Sukri.

Tujuh minit berselang, pintu gol skuad pelawat bocor lagi, kali ini giliran Tukhtasinov yang hanya melambung bola dalam gawang ketika penjaga gol pelawat tidak berada pada posisi terbaik untuk menyelamatkan bola.

Lima minit sebelum babak pertama berakhir, penyerang kelahiran Perancis, Yann Mabella bijak memanfaatkan peluang terhidang selepas mudah menyempurnakan hantaran lintang Azam Azmi untuk gol ketiga tuan rumah.

Sepanjang babak pertama, skuad kendalian E Elavarasan gagal mendapat sebarang peluang terbaik untuk menjaringkan gol berikutan kekebalan pertahanan tuan rumah yang diketuai Landis.

Bersambung babak kedua, pelawat memasukkan tiga tenaga baharu, T Saravanan, Farris Awang Kechik dan penjaga gol import dari Bulgaria.

Hasilnya pada minit ke-51, Saravanan tidak melepaskan peluang terbaik apabila berjaya melencongkan bola ke sebelah kiri pintu gol tuan rumah untuk merapatkan kedudukan 1-3.

Pada minit ke-61, Badrul Afzan memasukkan pemain import baharunya dari Myanmar, Kyaw Min Oo bagi menggantikan Akram Mahinan untuk memburu lebih banyak jaringan.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-72 selepas Mabella sekali lagi menjadi senjata pemusnah apabila mudah memperdaya penjaga gol import itu hasil hantaran Azam untuk mengukuhkan kedudukan 4-1 sehingga tamat perlawanan.