KUALA LUMPUR: Vietnam boleh dianggap sudah selangkah untuk mempertahankan kejuaraan Piala ASEAN buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Thailand 2-0 dalam aksi final pertama di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.
Skuad Golden Star Warriors bermula lebih garang menerusi percubaan yang dilakukan penyerang naturalisasi, Nguyen Xuan Son seawal minit keenam tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul.
Anak buah Kim Sang Sik yang mempamerkan permainan pantas terus mengancam kubu Thailand selepas itu, namun gagal menghasilkan gol dengan percubaan Nguyen Dinh Bac pada minit ke-33 juga ditepis Phatomakkakul.
Usaha keras barisan pemain Vietnam memburu gol pembukaan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-62 apabila tindakan bijak Dinh Bac melakukan kuisan ke belakang disudahkan dengan rembatan leret Nguyen Hai Long.
Tujuh minit kemudian, giliran pemain tengah berpengalaman Nguyen Quang Hai pula menceriakan kem Vietnam apabila dia merembat masuk bola hantaran lintang Do Hoang Hen.
Juara tiga kali itu turut terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan termasuk percubaan Hai Long pada minit ke-84 yang melepasi palang dan rembatan deras Dinh Bac, tiga minit kemudian terkena palang.
Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan terakhir dalam penentuan juara pada aksi final kedua di Stadium My Dinh, Rabu ini.
Untuk rekod, Vietnam hadir ke kejohanan bagi edisi 2026 selaku juara bertahan selepas muncul juara pada edisi 2024 dengan menewaskan Thailand menerusi agregat 5-3.