KUALA LUMPUR: Hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak berubah.
Ia selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain terbabit berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan dikeluarkan FIFA sebentar tadi, badan induk itu memaklumkan rayuan FAM serta tujuh pemain terbabit ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.
Ia bermakna FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) kepada FIFA seperti yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.
Pemain terbabit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) kepada FIFA.
“Selepas meneliti semua dokumen rayuan dan menjalankan sesi pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan itu dan mengesahkan sepenuhnya hukuman yang sudah dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain.
“FAM dan pemain sudah dimakumkan mengenai keputusan itu pada hari ini. Mereka mempunyai masa 10 hari untuk memohon keputusan bertulis.
“Selepas notifikasi itu, tempoh 21 hari diperuntukkan untuk mengemukakan rayuan selanjutnya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” kata kenyataan itu.
FAM pada 14 Oktober lalu mengemukakan rayuan kepada FIFA susulan daripada hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu.