sukan

TERKINI: Keputusan Tang Jie-Ee Wei berdepan pasangan Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencipta impak di kejohanan Terbuka Jepun 2025 apabila dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang berada dalam prestasi terbaik, terlebih dahulu memastikan kemaraan selepas menewaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu pada aksi di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.

Bagaimanapun, mereka terpaksa bekerja keras apabila bangkit selepas tewas set pertama sebelum mencatat kemenangan 17-21, 21-16, 21-12 dalam tempoh 58 minit.

Kejayaan itu menyaksikan gandingan negara itu bakal berdepan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara pada aksi suku akhir esok.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon yang juga beregu profesional dan pasangan suami isteri, mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia dengan keputusan 21-14, 21-17 dalam masa 31 minit.

Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan dengan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang mengalahkan satu lagi gandingan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-9, 21-6.

Secara keseluruhan, lapan beregu negara beraksi hari ini membabitkan empat beregu lelaki, tiga beregu campuran dan satu beregu wanita.

Untuk rekod, juara acara perseorangan akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$66,500 (RM282,978) manakala naib juara menerima AS$32,300 (RM137,460).

Juara acara beregu pula bakal meraih AS$70,300 (RM299,148) manakala naib juara AS$33,250 (RM141,494).

sumber:- HM

Terbuka Jepun adalah kejohanan Siri Jelajah Dunia Super 750 dengan menawarkan jumlah hadiah keseluruhan AS$950,000 (RM4 juta).