sukan

TERKINI: KL City, Kelantan Red Warrior dihukum FIFA

Pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC dan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior (KRW) FC menjadi dua kelab Malaysia yang baharu dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan semakan di laman badan induk bola sepak dunia itu, KL City dikenakan sekatan perpindahan pemain bermula 15 Disember lalu, manakala KRW pula bermula pada 19 Disember lalu.

Sumber KL City memaklumkan pasukan itu akan berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan dalam masa terdekat bagi membolehkan kelab itu bebas daripada segala sekatan sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka awal bulan depan.

“Benar memang ada sekatan yang dikenakan oleh FIFA dan perkara itu baharu saja diterima pihak kelab. Namun, tunggakan itu akan segera dilunaskan pihak pengurusan yang sedang berusaha keras selesaikan tunggakan itu.

“Jumlah tidak banyak, jadi perkara itu akan diselesaikan segera dan itu menjadi keutamaan kelab ketika ini,” kata sumber itu.

KL City mempamerkan persembahan yang memberangsangkan musim ini apabila menghuni tangga keempat Liga Super, berkongsi 25 mata bersama Kuching City (tangga kedua) dan Selangor (ketiga) selepas mengharungi 12 perlawanan.

Sementara itu, KRW FC dalam kenyataan, hari ini, mendakwa sekatan berkenaan berikutan laporan daripada bekas staf kejurulatihan Kelantan FC, Pol Corpas dan peguamnya dengan cubaan mengaitkan KRW FC dengan bekas kelabnya, sekali gus membuat tuntutan menyebabkan FIFA mengambil keputusan menjatuhkan hukuman terbabit.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan dengan mana-mana kelab sebelum ini di mana pada awal musim tempoh hari, kami sudah memberi penjelasan rasmi kepada FIFA dan sudah diterima sehingga kami boleh mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini. Isu ini timbul semula selepas kami cuba mendaftarkan pemain import baru sempena perpindahan kedua yang sudah dibuka.

“Sehubungan itu, Pol Corpas yang berkhidmat dengan kelab itu (Kelantan FC) pada musim 2022/23 perlu membuat tuntutan atau apa jua perkara berbangkit dengan pihak pengurusan bekas kelabnya yang masih wujud sehingga ke hari ini kerana KRW FC ditubuhkan pada tahun 2024 jelas tidak terbabit dengan permasalahan itu.

“Begitu juga pihak pengurusan terkini kelab, kami mengambil alih dari pihak pengurusan terdahulu bermula Ogos 2025 yang mana perkara ini menunjukkan bahawa pentadbiran kelab adalah 100 peratus berbeza serta tidak terbabit dengan kelab yang menjadi punca kepada laporan Pol Corpas.

“Kami juga meminta semua pihak terutamanya penyokong setia kami untuk mendapatkan makluman rasmi dari pihak kelab jika ada isu yang tular. Kami juga menyeru supaya terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kelantan Red Warrior agar kejayaan terus mengiringi kelab dan pasukan sehingga ke penghujung musim ini,” menurut kenyataan KRW FC.