KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) membuka kempen Liga Super musim 2026/2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Melaka FC 3-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Penyerang skuad Piala Dunia Curacao, Gervane Kastaneer menjadi watak utama apabila meledak dua gol sekali gus membuka akaun jaringan musim ini buat skuad Penyu.
Kastaneer meletakkan TFC di depan pada minit ke-11 selepas menerima hantaran Victor Ruiz sebelum melepaskan rembatan ke sebelah kanan gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Melaka FC, Khairul Fahmi Che Mat.
Gol pembukaan itu menyuntik semangat anak buah Nafuzi Zain yang terus menguasai permainan dalam usaha menambah jaringan.
Usaha itu berhasil apabila Ruiz menggandakan kelebihan TFC pada minit ke-44 menerusi rembatan dari luar kotak penalti selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan pasukan pelawat.
Seminit sebelum berakhir babak pertama, pertahanan kiri, Safwan Mazlan terlepas peluang untuk menambah gol ketiga pasukannya selepas rembatannya berjaya dihalang bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Sepanjang babak pertama, skuad pelawat kendalian E Elavarasan dilihat gagal melakukan percubaan bahaya selepas dikawal ketat benteng tuan rumah yang diketuai kapten, Shahrul Nizam Ros Hasni.
Bersambung babak kedua, skuad Sang Kancil memasukkan tiga tenaga baharu, Michael Ozor, Christian Souza dan Syahir Ab Rashid untuk memburu jaringan pertama, namun gagal menemui sentuhan jaringan.
Sebaliknya skuad Penyu berjaya menambah gol ketiga menerusi Kastaneer pada minit ke-80 selepas menerima hantaran lolos pemain gantian, Jordan Mintah sebelum memperdayakan penjaga gol dan meledakkan jaringan.
Keputusan 3-0 itu memastikan TFC memulakan kempen Liga Super musim baharu dengan tiga mata penuh, sekali gus menewaskan Melaka FC pada aksi pembukaan.