Skuad bola sepak lelaki negara akhirnya menamatkan penantian panjang apabila berjaya membawa pulang pingat dalam temasya Sukan SEA buat kali pertama sejak 2017, sekali gus mengakhiri kemarau hampir dua dekad untuk meraih pingat gangsa sejak edisi 2005. Kejayaan itu dilakar Harimau Muda selepas menewaskan Filipina dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Kejayaan tersebut hadir dalam situasi yang jauh daripada ideal. Filipina turun dengan kekuatan penuh, manakala skuad kendalian Nafuzi Zain pula berdepan pelbagai kekangan termasuk krisis kecederaan, ketiadaan beberapa pemain utama serta penggantungan menjelang perlawanan. Namun, tekanan dan kekurangan itu tidak menghalang Harimau Muda daripada menampilkan persembahan berdisiplin dan berdaya saing sepanjang 90 minit permainan.
Sejak sepak mula, kedua-dua pasukan mempamerkan pendekatan seimbang dengan saling berbalas serangan. Filipina cuba mengawal tempo permainan melalui hantaran pantas di bahagian tengah, manakala Malaysia lebih cenderung memanfaatkan kekuatan fizikal serta pergerakan agresif di kawasan sayap. Perbezaan kualiti mula terserlah apabila Harimau Muda lebih kemas dalam menyusun serangan berbahaya.
Gol pembukaan perlawanan hadir pada minit ke-28 menerusi pemain Johor Darul Ta’zim II, Danish Hakimi Sahaludin. Bermula daripada sepakan penjuru, bola gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Filipina sebelum Danish Hakimi pantas menyambar peluang untuk menampan masuk bola ke gawang lawan. Gol tersebut turut dibantu kekuatan fizikal Aysar Hadi Shapri yang mencetuskan kekeliruan di dalam kotak penalti.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Filipina menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan sendiri Haqimi Azim Rosli yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Zulhilmi Sharani. Gol tersebut sedikit menguji ketahanan mental Harimau Muda, namun pasukan negara tidak mengambil masa lama untuk kembali menyusun semula rentak permainan.
Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, Haqimi Azim menebus kesilapannya dengan jaringan yang cukup berkualiti. Pemain Kuala Lumpur City itu melakukan larian bertenaga melepasi kawalan pertahanan Filipina sebelum menyedari kedudukan penjaga gol lawan yang berada jauh dari gawang. Tanpa ragu, beliau melepaskan sepakan dari luar kotak penalti untuk mengembalikan kelebihan kepada Malaysia.
Memasuki babak kedua, Filipina meningkatkan tekanan dengan asakan bertali arus bagi mencari gol penyamaan. Namun, benteng pertahanan Harimau Muda kekal kental, dipimpin oleh Ubaidullah Shamsul Fazili dari Terengganu yang berperanan besar dalam menyusun organisasi pertahanan. Setiap percubaan Filipina berjaya dipatahkan sama ada melalui sekatan pertahanan atau ketangkasan Zulhilmi di bawah palang.
Zulhilmi Sharani wajar diberikan pujian atas beberapa aksi menyelamat penting yang memastikan kelebihan Malaysia terus terpelihara. Ketika Filipina cuba memanfaatkan tekanan lewat permainan, disiplin bertahan dan komunikasi antara pemain menjadi faktor utama yang membezakan keputusan perlawanan.
Kejayaan meraih pingat gangsa ini dianggap pencapaian signifikan memandangkan sasaran awal pasukan hanyalah untuk mara ke peringkat separuh akhir. Dengan persiapan singkat dan tanpa beberapa nama besar, Harimau Muda membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di pentas serantau.
Mengakhiri kejohanan di tempat ketiga bukan sekadar hadiah pingat, tetapi menjadi simbol kebangkitan bola sepak muda negara. Ia juga memperlihatkan nilai konsistensi, kesungguhan dan keupayaan beradaptasi dalam situasi sukar, sekali gus memberikan suntikan keyakinan menjelang perancangan jangka panjang pasukan kebangsaan.