sukan

TERKINI : Media Argentina kongsi sijil kelahiran nenek Imanol Machuca

Kuala Lumpur: Satu demi satu sijil kelahiran pemain skuad Harimau Malaya mula didedahkan kepada umum khususnya media antarabangsa.

Terbaharu, sijil kelahiran nenek Imanol Machuca dikongsikan oleh media Argentina yang mendakwa nenek pemain sayap lincah itu berasal dari bandar Roldán, Wilayah Santa Fe, Argentina.

Pendedahan itu sekali gus menafikan neneknya iaitu Concepcion Agueda Alaniz berasal dari Pulau Pinang seperti yang didakwa sebelum ini.

“Di Roldán, daerah San Lorenzo, Wilayah Santa Fe, pada 23 Ogos 1954, jam 10 pagi, Encik Celestino Alaniz, warganegara Argentina, melaporkan kelahiran anak perempuannya, Concepción Agueda, hasil perkahwinan dengan isterinya, Nélida Agustina Ordóñez,” menurut dokumen yang dimuat naik oleh media Argentina, Capital de Noticias semalam.

Dalam laporan itu juga, semakan ke atas sijil perkahwinan pasangan itu menunjukkan Concepcion Agueda Alaniz berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh yang juga lahir di Roldán pada 27 Ogos 1971, sekali gus menolak kemungkinan wujudnya hubungan darah dengan mana-mana individu berketurunan Malaysia.

Media Argentina itu sebelum ini turut mendedahkan dokumen kelahiran datuk kepada Facundo Garces yang kononnya berasal dari Pulau Pinang sebenarnya menunjukkan dia dilahirkan di Santa Fe, Argentina.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara dan denda ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada hujung September lalu.

Keputusan menolak rayuan itu susulan kesalahan memalsukan maklumat bagi mendapatkan kelayakan bermain di peringkat antarabangsa.

Selain digantung, setiap pemain turut dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,900) manakala FAM diperintah membayar denda keseluruhan 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta).

Begitupun drama isu ini belum berakhir apabila FAM basal mengheret kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan FIFA itu.