Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Miguel Maduro, difahamkan mendakwa presiden badan induk bola sepak dunia iaitu Gianni Infantino melanggar Artikel 15 Kod Etika berhubung neutral politik.
Ia susulan daripada ucapan Infantino yang memuji Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara terbuka sebelum ini.
“Kami mempunyai hubungan yang baik. Saya amat bernasib baik. Saya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Presiden Trump, dimana saya menganggap dia sebagai kawan yang sangat rapat.
“Sudah tentu dia banyak membantu dalam segala yang kami lakukan untuk Piala Dunia.
“Dia bertindak. Dia melakukan apa yang dikatakannya. Dia mengatakan apa yang difikirannya. Dia sebenarnya menyuarakan apa yang difikirkan ramai orang juga, tetapi mungkin tidak berani untuk diucapkan, dan itulah sebabnya dia begitu berjaya. Saya harus katakan dan kadang-kadang terkejut apabila membaca beberapa komen negatif.
“Saya bukan orang Amerika, tetapi setakat yang saya faham, Presiden Trump dipilih di Amerika Syarikat dan dipilih dengan jelas.
“Apabila anda berada dalam demokrasi yang hebat seperti Amerika Syarikat, anda sepatutnya menghormati keputusan pilihan raya, bukan?” katanya
Sementara itu, Maduro dalam ucapannya menjelaskan: “Satu perdebatan boleh berlaku mengenai sejauh mana kewajipan itu harus meluas kepada kedudukan politik yang diambil apabila pegawai FIFA bertindak dalam kapasiti peribadi mereka.
“Namun, itu jelas bukan kes kenyataan yang dipersoalkan ini. Ia dibuat dalam kapasiti beliau sebagai Presiden FIFA di acara yang jelas beliau sertai sebagai Presiden FIFA.
“Bahagian terakhir kenyataan beliau lebih daripada sekadar mengiktiraf legitimasi Presiden Trump yang ia menyokong program politik dan tindakannya dan menyatakan bahawa orang lain juga patut menyokongnya. Beliau mengambil sikap dalam apa yang merupakan perdebatan politik dalaman di AS.
“Untuk kekal neutral dari segi politik, seseorang tidak boleh mengambil sikap dalam perdebatan politik itu, apatah lagi menyatakan bahawa semua orang patut menyokong dasar Presiden Trump.
“Melakukan demikian jelas merupakan pelanggaran terhadap kewajipan neutraliti politik yang dikenakan ke atas mana-mana pegawai FIFA menurut Artikel 15 Kod Etika FIFA” ujarnya.