sukan

TERKINI : Nasib malang yang cukup berat untuk diterima Holgado

Kuala Lumpur: Nasib malang menimpa penyerang kacukan negara, Rodrigo Holgado apabila bukan saja digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), malah tidak akan menerima sebarang gaji daripada kelabnya, America de Cali sepanjang tempoh penggantungan itu.

Perkara itu disahkan kelab berpangkalan di Colombia berkenaan menerusi kenyataan rasmi semalam yang mengumumkan Holgado kini diberikan cuti tanpa gaji untuk kembali ke Malaysia.

“Rodrigo Holgado sudah memohon dan dibenarkan menerima cuti tanpa gaji untuk kembali ke Malaysia.

“Ia adalah untuk mengendalikan situasi berkaitan sekatan yang dikenakan ke atasnya serta persatuan bola sepaknya oleh badan disiplin FIFA,” jelas kenyataan itu.

Kepulangan Holgado ke Malaysia turut diperkukuh laporan wartawan Colombia, Nany Florez menerusi laman X yang mendedahkan penyerang itu kini bersama wakilnya untuk menyiapkan dokumen rayuan dalam tempoh 10 hari.

“Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Penyerang America de Cali itu berharap isu ini dapat diselesaikan segera susulan hukuman FIFA,” tulis Florez.

Bukan Holgado sahaja, seorang lagi pemain warisan negara, Facundo Garces turut mengambil langkah sama apabila pertahanan La Liga itu terpaksa meninggalkan kelabnya, Alaves untuk kembali ke Malaysia.

Media Sepanyol, Elcorreo Alava melaporkan Garces tidak dapat beraksi bersama pasukan dan kini berada di Malaysia untuk menyelaraskan rayuan berhubung hukuman penggantungan setahun.

“Facundo Garces berada di Malaysia untuk menyelaraskan bersama persatuan mengenai rayuan terhadap FIFA berhubung penggantungannya selama setahun,” kata laporan itu.

Holgado dan Garces adalah antara tujuh pemain warisan negara yang digantung FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Selain dua bintang itu, lima lagi pemain yang turut terpalit ialah Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.