sukan

TERKINI ONE Championship : Rifdean terlepas gelaran juara dunia

Hasrat petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor, untuk merebut tali pinggang dunia ONE Atomweight Muay Thai menerima tamparan apabila dia gagal melepasi ujian timbang berat dan hidrasi menjelang pertarungan menentang juara bertahan dari Jepun, Nadaka Yoshinari, pada ONE Samurai 4 di Tokyo, esok.

Kegagalan memenuhi kedua-dua syarat itu menyebabkan Rifdean tidak lagi layak memenangi tali pinggang dunia berkenaan walaupun pertarungan masih berpeluang diteruskan.

Namun, petarung negara terlebih dahulu perlu menyerahkan sampel ujian terkini yang menunjukkan tahap hidrasi mencukupi.

Sekiranya syarat itu dipenuhi, perbincangan boleh dilakukan untuk meneruskan pertarungan secara catchweight, tertakluk kepada persetujuan Nadaka.

Catchweight merujuk kepada pertarungan yang berlangsung pada had berat dipersetujui bersama apabila salah seorang petarung gagal memenuhi berat asal bagi kategori pertandingan.

ONE Championship menerusi laman Instagram rasminya mengesahkan perkembangan tersebut.

“Rifdean Masdor gagal memenuhi syarat berat badan dan tahap hidrasi menjelang pertarungan merebut Gelaran Dunia menentang Nadaka di ONE SAMURAI 4.

“Dia kini perlu menyerahkan sampel yang menunjukkan tahap hidrasi yang mencukupi sebelum boleh berunding untuk mengadakan perlawanan dengan had berat yang dipersetujui bersama (catchweight) menentang Nadaka.

“Rifdean tidak lagi layak untuk memenangi Gelaran Dunia Muay Thai ONE kategori Atomweight. Nantikan perkembangan terkini di saluran media sosial kami!” kongsinya.

Situasi itu bermakna Rifdean kehilangan peluang untuk membawa pulang tali pinggang dunia walaupun pertarungan akhirnya diteruskan.

Sebaliknya, tumpuan kini adalah memastikan dia berjaya melepasi semakan hidrasi seterusnya sebelum sebarang persetujuan catchweight boleh dimuktamadkan.

Nadaka yang berusia 25 tahun pula kekal sebagai juara bertahan dan tidak terjejas dari sudut kelayakan mempertahankan kedudukannya.

Pertarungan tersebut sebelum ini menjadi antara aksi yang cukup dinanti kerana memberikan Rifdean peluang mencabar salah seorang nama utama Muay Thai Jepun di pentas ONE Championship.

Namun, kegagalan timbang berat dan hidrasi mengubah sepenuhnya kedudukan pertarungan itu.

Jika perlawanan diteruskan, Rifdean masih berpeluang beraksi menentang Nadaka, tetapi sebarang kemenangan tidak akan memberikan tali pinggang dunia kepadanya.

Perkembangan terkini kini bergantung kepada keputusan ujian hidrasi berikutnya serta persetujuan kedua-dua pihak untuk meneruskan pertarungan secara catchweight.