Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di sini, sebentar tadi.
Beraksi di hadapan 56,894 penonton, skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebenarnya memiliki beberapa peluang untuk membuka jaringan, terutama selepas Indonesia kehilangan Thom Haye yang dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Indonesia hampir membuka akaun gol seawal minit keempat menerusi Justin Hubner ketika berlaku kekalutan di depan pintu gol Malaysia, namun jaringan berkenaan dibatalkan pengadil perlawanan.
Harimau Malaya kemudian hampir memecah kebuntuan pada minit ke-12 apabila Arif Aiman Hanapi melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan, namun percubaannya ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Maarten Paes, sekali gus melegakan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
Bergson da Silva turut mempunyai peluang terbaik pada minit ke-16 apabila gagal menanduk masuk bola hasil umpanan Faisal Halim, manakala Indonesia terus mengancam dari sebelah kanan menerusi beberapa hantaran silang.
Bagaimanapun, benteng negara yang diketuai Dion Cools berjaya mengekang asakan skuad kendalian John Herdman, selain gerakan pantas Arif Aiman beberapa kali kucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.
Tuan rumah kemudian menerima tamparan apabila Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-35 selepas mengasari Arif Aiman. Pengadil dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko, pada awalnya melayangkan kad kuning sebelum semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati terjahan berkenaan wajar dihukum dengan kad merah.
Walaupun Indonesia beraksi dengan 10 pemain pada baki lapan minit babak pertama, Malaysia masih gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila separuh masa berakhir tanpa jaringan.
Indonesia turut melakukan pertukaran dengan memasukkan Ivar Jenner bagi menggantikan Ragnar Oratmangoen.
Memasuki babak kedua, Arif Aiman dilayangkan kad kuning pada minit ke-48 selepas melakukan terjahan terhadap pemain lawan, sebelum Cheng Hoe melakukan pertukaran pertamanya dengan memasukkan Paulo Josue menggantikan Faisal Halim pada minit ke-54.
Josue hampir memecah kebuntuan menerusi tandukan hasil hantaran silang Manuel Hidalgo, namun percubaannya sedikit melepasi palang.
Sepakan pantas Arif Aiman dari luar kotak penalti selepas itu turut dihalang pertahanan Indonesia.
Indonesia kemudian melakukan perubahan dengan memasukkan Luke Vickery bagi menggantikan Mitchell Baker pada minit ke-65, manakala Malaysia memasukkan Fergus Tierney pada minit ke-71 untuk menggantikan Hidalgo.
Kemasukan Tierney hampir membawa sinar buat Harimau Malaya apabila dia menerima umpanan Bergson sebelum melakukan tolakan ke arah gawang, namun bola terbabit melepasi palang.
Malaysia terus menguasai permainan pada babak kedua dengan lebih banyak beraksi di kawasan Indonesia menerusi gerakan Arif Aiman, Bergson dan Stuart Wilkin, namun usaha itu masih tidak membuahkan hasil apabila pemain Indonesia lebih banyak berkampung di kawasan sendiri dan sesekali melancarkan serangan.
Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat permainan, menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Malaysia kekal menerajui Kumpulan A dengan empat mata, jumlah sama dimiliki Indonesia di tempat kedua, namun Harimau Malaya mempunyai kelebihan jaringan.
Harimau Malaya selepas ini akan menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, dengan aksi final dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober sekiranya Malaysia layak.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A di GBK petang tadi, Singapura mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Bangladesh hasil jaringan Harhys Stewart pada minit ke-35.