sukan

TERKINI : Ranking Azizulhasni terus melonjak

KUALA LUMPUR: Lonjakan sembilan anak tangga ke ranking keenam dunia menyuntik semangat Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus memberi petanda positif terhadap usahanya kembali bersaing di pentas tertinggi.

Menerusi kemas kini terbaharu Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), jaguh berbasikal trek negara itu memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-15 kepada keenam selepas mengharungi Kejohanan Dunia di Shanghai, China, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, kedudukan Malaysia dalam ranking negara bagi acara berkenaan turut meningkat dua anak tangga daripada ke-11 kepada kesembilan dunia.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Azizulhasni menegaskan peningkatan itu baru permulaan dalam usahanya kembali berada dalam kelompok terbaik dunia selepas kembali beraksi susulan persaraan sebelum ini.

“Selepas Kejohanan Dunia Shanghai baru-baru ini, ranking saya melonjak naik ke keenam terbaik dunia. Dan ini hanyalah permulaan. Insya-Allah,” katanya.

Azizulhasni turut menjelaskan bahawa laluan ke LA28 bukan sekadar bergantung kepada penyertaan dalam kejohanan, sebaliknya pelumba perlu melayakkan diri berdasarkan merit menerusi ranking UCI.

“Untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik LA28, bukan sekadar isi nama dalam borang dan hantar kepada pihak penganjur. Atlet perlu layak secara merit melalui ranking UCI (Badan Basikal Dunia),” katanya.

Azizulhasni sebelum ini menyasarkan untuk kembali berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan pelumba terbaik dunia bagi meningkatkan peluang memburu slot ke temasya Olimpik berkenaan.