sukan

TERKINI : Rob Friend akhirnya buka mulut isu dokumentasi tujuh pemain warisan

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian NT, Rob Friend, mengeluarkan kenyataan berhubung isu dokumentasi yang melibatkan tujuh pemain warisan negara.

Jumaat lalu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Rodrigo serta enam lagi pemain warisan baharu negara iaitu Joao Figueiredo, Imanol Machuca, Facundo Garces, Jon Irazabal, Gabriel Palmero dan Hector Hevel dikenakan hukuman oleh FIFA pada 26 September lalu berikutan isu ketidaksahihan warganegara Malaysia.

Rob Friend, menerusi laman facebook Malaysia NT, berkata, “Kami terkejut dengan keputusan FIFA dan sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang dikenakan ke atas pemain kami.

“FAM telah menangani perkara pentadbiran yang dikaji, dan pasukan kebangsaan berdiri teguh di sebalik proses rayuan. Sebagai Harimau Malaya, tumpuan penuh kami adalah di hadapan, menyediakan pasukan yang kuat untuk perlawanan kelayakan akan datang menentang Laos dan memastikan disiplin, profesionalisme dan prestasi kami di atas padang terus mencerminkan kebanggaan dan semangat negara.

“Kami menghormati prosiding yang sedang berjalan dan percaya proses itu akan memberikan hasil yang adil dan telus.

“Ini adalah detik penentu bagi bola sepak Malaysia. Harimau Malaya kekal bersatu dan tegas, berdiri bersama pemain, jurulatih dan kakitangan kami sambil kami bergerak ke hadapan dengan tujuan dan keazaman.”