Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa hanya 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-27, yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos 2026. Keputusan ini menandakan perubahan besar dalam landskap bola sepak tempatan, dengan penekanan terhadap kelab yang benar-benar memenuhi syarat pelesenan, kewangan, dan infrastruktur.
Antara kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu, Star City (Imigresen), Negeri Sembilan, Penang, Sabah, DPMM, dan Melaka. Kesemua pasukan ini dilihat bersedia dari segi operasi dan pengurusan untuk menghadapi musim baharu yang dijangka lebih kompetitif.
Baki satu slot terakhir masih menjadi tanda tanya. Status PDRM FC akan ditentukan pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas, First Instance Body (FIB), bersidang bagi menilai pematuhan kelab itu terhadap kriteria kewangan dan infrastruktur. PDRM FC sebelum ini diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai.
Sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat, slot tersebut akan diberikan kepada kelab Kelantan Red Warrior (KRW), yang menduduki tangga keempat Liga A1 Semi-Pro musim lalu. KRW dilihat lebih bersedia berbanding pesaing lain seperti UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC, yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
Menariknya, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC, tidak memohon untuk bertanding dalam Liga Super musim ini. Keputusan itu sekaligus mengecilkan senarai calon pengganti sekiranya PDRM FC gagal.
Menurut kenyataan MFL, pengurangan bilangan pasukan kepada 12 kelab dilihat mampu memberikan impak positif kepada ekosistem liga. “Hanya kelab yang benar-benar memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur layak bertanding. Ini akan membantu memastikan setiap perlawanan lebih kompetitif dan berkualiti,” jelas kenyataan rasmi.
Selain itu, langkah ini juga selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP), yang menekankan pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji konsisten, serta kelangsungan operasi kelab. Dengan jumlah pasukan yang lebih kecil, risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia dari segi kewangan dapat dikurangkan.
MFL turut menekankan bahawa pengurangan pasukan akan mengurangkan bebanan kos operasi dan pengurusan kelab. Penjadualan perlawanan juga dijangka lebih tersusun, sekali gus memberi ruang kepada kelab untuk merancang strategi dengan lebih baik sepanjang musim.
Bagi penyokong, rakan penaja, dan penyiar, perubahan ini dijangka meningkatkan nilai liga kerana setiap perlawanan akan berlangsung dengan intensiti lebih tinggi. Liga yang lebih mampan dan berdaya saing akan memberikan pengalaman lebih berkualiti kepada semua pihak berkepentingan.
Secara keseluruhan, keputusan MFL ini dilihat sebagai langkah berani untuk memperkukuh asas bola sepak profesional Malaysia. Dengan hanya kelab yang benar-benar bersedia dibenarkan bertanding, Liga Super 2026-27 dijangka menjadi musim yang lebih kompetitif, tersusun, dan penuh dengan aksi menarik.