sukan

TERKINI: Sah tiada wakil beregu lelaki negara beraksi di Separuh Akhir Jelajah Dunia BWF

Harapan Malaysia untuk melihat wakil beregu lelaki mara ke separuh akhir Final Jelajah Dunia BWF 2025 berakhir dengan penuh kekecewaan apabila gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sah tersingkir selepas tewas dalam aksi penentuan rubber set menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, sebentar tadi.

Kekalahan ini bermakna tiada wakil beregu lelaki Malaysia berjaya mara ke separuh akhir, susulan pasangan muda Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut menerima nasib sama. Lebih memilukan, ia merupakan kali keenam berturut-turut Aaron-Wooi Yik, yang kini menghuni ranking kedua dunia, gagal melepasi peringkat kumpulan di kejohanan akhir musim.

Aaron-Wooi Yik sebenarnya memulakan kempen dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri, dalam pertarungan sengit 22-24, 21-18, 21-19. Namun, momentum itu tidak berterusan apabila mereka tunduk mudah kepada gandingan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, dengan keputusan straight set 14-21, 18-21 pada hari kedua.

Segala harapan bertumpu kepada aksi terakhir menentang Satwik-Chirag. Malaysia sempat memberi sinar apabila mengungguli set pertama 21-17, hasil permainan kemas dan kawalan jaring yang mantap. Namun, pasangan India bangkit dengan lebih agresif, memenangi set kedua 21-18 sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 21-15 di set penentuan.

Kekalahan ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai konsistensi Aaron-Wooi Yik di kejohanan akhir musim. Walaupun mereka pernah mencipta sejarah dengan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, prestasi di pentas World Tour Finals masih belum menepati status sebagai gandingan ranking kedua dunia.

Walaupun tersingkir, Aaron-Wooi Yik tetap menjadi sandaran utama Malaysia dalam misi memburu kejayaan di kejohanan besar akan datang, termasuk kelayakan Olimpik Los Angeles 2028. Peminat badminton tanah air berharap pengalaman pahit di Guangzhou akan menjadi pengajaran berharga untuk memperkukuh mental dan taktikal mereka.