KUALA LUMPUR: Selangor FC berdepan detik cemas sebelum mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA apabila mara dengan agregat 6-3, meskipun tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan FC pada suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Berbekalkan kemenangan 4-0 pada aksi pertama di Paroi pada 18 Oktober lalu, skuad Gergasi Merah kendalian jurulatih sementara Christophe Gamel, dikejutkan dengan kebangkitan luar biasa pelawat yang bermula garang sejak wisel permulaan.
Negeri Sembilan yang turun dengan misi mencipta kejutan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi pertahanan Muhammad Harith Samsuri hasil situasi sepakan penjuru, sebelum N Javabilaarivin menambah jaringan kedua pada minit ke-27 selepas menanduk masuk hantaran Joseph Esso.
Tersentak dengan dua jaringan awal itu, Selangor memperkemas rentak permainan dan berjaya merapatkan jurang apabila Willian Lira Sousa meledak gol penting menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-42 hasil umpanan Quentin Cheng untuk menjadikan kedudukan 1-2 ketika rehat.
Memasuki babak kedua, Selangor melakukan beberapa pertukaran termasuk menurunkan penyerang utama Faisal Halim bagi memperkuatkan serangan, namun Negeri Sembilan terus mencuri tumpuan apabila menambah gol ketiga menerusi pemain gantian Mio Tsuneyasu yang melakukan rembatan lencong menarik pada minit ke-81.
Namun semangat juang Selangor tidak pernah padam apabila Faisal menghadiahkan gol kedua pasukannya pada minit ke-87 selepas menerima hantaran Omid Musawi, sekali gus meredakan tekanan penyokong tuan rumah.
Pelawat hampir menambah jaringan di hujung permainan menerusi percubaan Muhammad Hadin Azman, namun rembatannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke-88.
Keputusan 2-3 kekal hingga tamat, namun kelebihan agregat 6-3 sudah cukup untuk Selangor ke separuh akhir berdepan Sabah FC, yang turut mara selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan agregat 5-2.