NAGOYA: Malaysia hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian 36 tahun meraih pingat emas acara regu berpasukan sepak takraw Sukan Asia selepas menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.
Bagaimanapun, laluan skuad negara ke pentas akhir tidak mudah apabila diberikan tentangan sengit oleh Indonesia sebelum regu ketiga mencetuskan kebangkitan dramatik untuk memastikan kemenangan 2-1.
Trio Muhammad Zarif Marican Ibrahim, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan menjadi penyelamat Malaysia apabila bangkit selepas tewas set pertama sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan dan melakar kemenangan 15-11.
Dalam aksi penuh debaran itu, Zarif yang memulakan tugas sebagai tekong digantikan Muhammad Haziq Hairul Nizam pada penghujung set pertama ketika Malaysia cuba mengubah rentak permainan.
Namun, perubahan itu tidak memberi impak diharapkan apabila Indonesia terus memberikan tekanan sebelum Zarif kembali mengambil alih peranan tekong pada penghujung set kedua dan meneruskan aksi sehingga tamat permainan.
Malaysia kemudian bangkit memenangi set kedua 15-11 sebelum menampilkan aksi lebih tenang dalam set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 15-11.
Sebelum itu, Malaysia ketinggalan menerusi regu pertama apabila Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali tewas kepada trio Indonesia, Saiful Rijal, Yudha Aswinata dan Muhammad Hardiansyah Muliang dalam pertarungan tiga set 15-10, 13-15, 13-15.
Skuad negara kembali menyamakan kedudukan 1-1 menerusi regu kedua yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias selepas menewaskan Jelki Ladada, Syamsul Akmal dan Andy Try Sandi Saputra 15-10, 15-6.
Kemenangan itu membuka peluang Malaysia menamatkan kemarau emas acara regu berpasukan yang berlarutan sejak kejayaan pada Sukan Asia Beijing 1990, apabila mara ke pentas akhir untuk mencabar kejuaraan.
Malaysia akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand pada aksi final, esok.
Thailand mara selepas menewaskan Jepun 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.