BANGKOK: Skuad hoki lelaki negara meneruskan penguasaan mutlak di pentas Asia Tenggara apabila mara ke final Sukan SEA Thailand selepas membelasah Singapura 12-2 pada aksi separuh akhir, hari ini sekali gus berpeluang mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di Kemboja.
Perlawanan yang berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU), Chonburi itu menyaksikan skuad negara tampil garang sejak awal permainan, sekali gus tidak memberi ruang kepada Singapura untuk bernafas.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh cukup berpuas hati dengan prestasi barisan pemain negara yang tidak memberi ruang kepada Singapura untuk bangkit, sekali gus bakal berdepan dengan tuan rumah, Thailand, pada aksi final, esok.
Thailand mara ke final selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
“Kita mendahului dengan selesa dan pemain kekal fokus sepanjang perlawanan. Mereka bermain dengan baik sekali.
“Untuk final esok, pemain perlu mencipta peluang dan ‘habiskan’ perlawanan secepat mungkin seperti yang mereka lakukan hari ini,” kata Sarjit.
Malaysia membuka tirai jaringan menerusi gol padang Fitri Saari pada minit ketujuh, sebelum Amirul Hamizan Azahar menggandakan kelebihan empat minit kemudian, juga menerusi gol padang pada minit ke-11.
Pesta gol skuad negara diteruskan oleh Azrai Aizad Abu Kamal yang meledak tiga gol padang masing-masing pada minit ke-16, 22 dan 31, manakala Syed Syafiq Syed Cholan menambah kelebihan menerusi tiga pukulan sudut penalti pada minit ke-15, 32 dan 36.
Tidak cukup dengan itu, Nik Aiman Nik Rozemi turut mencatat nama selaku penjaring gol padang pada minit ke-21, diikuti jaringan Amanraj Singh pada minit ke-41 untuk meletakkan Malaysia jauh mendahului.
Singapura hanya berjaya meraih dua gol saguhati menerusi Yap Wee Lee pada minit ke-54 dan Zaki Zulkarnain pada minit ke-58, namun ia tidak menggugat keampuhan jentera serangan negara.
Malaysia menutup perlawanan dengan bergaya apabila Norsyafiq Sumantri menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-59, sebelum Shello Silverius melengkapkan kemenangan besar menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.
Kejayaan mara ke final sekali lagi mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa besar hoki Sukan SEA, dengan rekod 17 pingat emas sejak penyertaan pertama pada 1971, selain hanya sekali menamatkan saingan sebagai naib juara pada edisi 1973 di Singapura.