sukan

(Terkini)ACC : Keputusan penuh aksi Selangor berdepan Tampines Rovers

Petaling Jaya: Selangor FC (SFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Tampines Rovers 4-2 dalam kempen Kumpulan A Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kemenangan itu meletakkan wakil Malaysia itu mengekalkan rekod bersih dalam dua aksi untuk berada di kedudukan pertama kumpulan dengan empat mata, mengatasi BG Pathum United yang turut memungut mata sama, namun dipisahkan dengan kelebihan jaringan.

Permulaan perlawanan seimbang daripada tuan rumah dan pelawat dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Bagaimanapun, Stadium MBPJ dikejutkan dengan gol ‘magis’ Faisal Halim pada minit ke-18 apabila hantarannya yang membias pertahanan lawan melambung masuk ke penjuru atas gawang untuk mendahului 1-0.

Skuad Red Giants kemudiannya menggandakan kelebihan apabila tekanan Chrigor Moraes ke atas pemain pertahanan membuahkan hasil sebelum Zach Clough mudah menyempurnakan lorongan Moraes di minit ke-30.

Pelawat yang dibimbing Noh Rahman merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Koya Kazama di minit ke-41 selepas Richmond Ankrah melakukan terjahan dalam kotak penalti.

Ankrah berpeluang menebus kesilapannya dua minit kemudian, namun tandukannya sedikit tersasar selepas menyambut sepakan penjuru Faisal.

Bermula babak kedua, anak buah Katsuhito Kinoshi meningkatkan tempo dan berhasil menambah gol ketiga hasil sentuhan Faisal di minit ke-51 yang menerima hantaran Clough.

Berselang enam minit kemudian, tuan rumah terus mengganas apabila giliran Alvin Fortes pula mencetak nama selaku penjaring selepas satu serangan balas yang digerakkan Moraes gagal dihalang pertahanan pelawat.

Sekali lagi kelekaan benteng SFC dimanfaatkan lawan untuk meledak gol kedua menerusi Hide Higashikawa di minit ke-65.

Skuad The Stags cuba memburu gol tambahan, namun segala usaha menemui kegagalan dan terpaksa pulang hampa.