KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menutup tirai saingan Liga Super 2024/2025 dengan kemenangan bergaya selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad Penyu yang kekal di tangga kelima dengan 35 mata manakala Kedah menamatkan saingan liga di tempat ke-11 dengan 21 mata.
TFC dikejutkan lebih awal apabila Kedah menjaringkan dua gol menerusi Amirul Hisyam Awang Kechik dan Milos Gordic masing-masing pada minit ke-17 dan 30. Namun, kedua-dua jaringan dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan berlaku ofsaid.
Ketika babak pertama hampir berakhir tanpa jaringan, kapten TFC, Safawi Rasid membuka tirai jaringan pada masa kecederaan selepas menyambut hantaran lintang Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob untuk meletakkan tuan rumah di depan 1-0.
Terdahulu, TFC nyaris memperoleh gol awal seawal minit kedua namun sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov dalam kotak penalti gagal disudahkan selepas terkena pertahanan lawan.
Pada minit ke-60, Safawi berpeluang menambah jaringan namun gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Kedah, Wan Mohamad Syazmin Wan Mohamad Ruzaimi.
TFC sekali lagi dikecewakan VAR pada minit ke-69 apabila jaringan Muhammad Azam Azmi Murad dibatalkan akibat ofsaid.
Namun usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menanduk masuk sepakan sudut Safawi pada minit ke-74 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-80 selepas Engku Muhammad Nur Shakir dilayangkan kad merah kerana mengasari kapten Kedah, Mohd Akmal Md Zahir.
TFC berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-88, namun sepakan panenka Safawi diselamatkan penjaga gol lawan.
sumber:- BH
Bagaimanapun, Tukhtasinov memastikan kemenangan mutlak buat TFC apabila meledak gol ketiga pada minit ke-86, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0 di laman sendiri.