KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) enggan meratapi kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia, Jumaat lalu.
Sebaliknya anak buah Badrul Afzan Razali tekad bangkit melakar kemenangan berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu ini.
Pertahanannya, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, insiden malang tewas 0-4 kepada pasukan gergasi Liga Malaysia di tempat sendiri itu begitu perit dan mahu segera dilupakan.
Kata pemain muda itu, fokusnya kini bersama rakan sepasukan adalah mahu melakar kemenangan bagi mengintai peluang layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN.
Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun kelahiran Kelantan itu sedar bukan tugas mudah buat TFC untuk merobek kubu skuad itu yang kini menghuni di tangga teratas Kumpulan A.
“Bagi kami skuad lawan adalah pasukan yang berkualiti dan buktinya mereka kini memimpin peringkat kumpulan.
“Namun dalam sukan ini tiada yang mustahil untuk kita mencipta kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, lagi pun misi kita adalah wajib menang untuk terus bersaing dalam saingan itu.
“Tapi kita perlu fokus dan tidak leka sepanjang perlawanan bagi mengelak dihukum lawan terutama pada penghujung babak,” ujar bekas pemain skuad Projek FAM-MSN itu.
sumber:-BH
Berdasarkan kedudukan terkini, skuad bimbingan Penyu itu menghuni di tangga keempat Kumpulan A dengan mengutip empat mata iaitu ketinggalan tiga mata dengan pendahulu selepas tiga perlawanan.