sukan

TFC fokus perkuat jentera serangan

KUALA TERENGGANU: Tempoh rehat selama dua minggu digunakan sebaik mungkin kem Terengganu FC (TFC) bagi memperkasakan lagi pasukan.

Skuad Penyu yang kini dibimbing Badrul Afzan Razali dan dibantu ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar fokus kepada barisan penyerangnya yang dilihat tumpul sebelum ini.

“Tempoh rehat tanpa perlawanan ini kami akan gunakan sebaik mungkin untuk memperkasakan lagi pasukan terutama barisan penyudah yang tidak begitu tajam.

“Kami harapkan barisan penyerang import dan tempatan mampu memberikan impak yang lebih positif lagi kepada pasukan sebaik Liga Super bersambung hujung minggu depan.

“Pada masa sama juga kami harapkan kemarau tanpa kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut dapat ditamatkan seberapa segera,” kata Badrul Afzan.

Terdahulu bekas ‘arkitek’ pasukan Terengganu itu dilantik sebagai jurulatih sementara TFC selepas Tomislav Steinbruckner meletak jawatan berikutan prestasi tidak konsisten pasukan.

Aksi pertama di bawah kendalian Badrul Afzan menyaksikan skuad Penyu melakar keputusan seri 1-1 berdepan PDRM FC pada 4 Oktober lalu.

sumber:-BH

TFC yang kini menghuni di kedudukan ketiga liga dengan mengutip 17 mata, bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 19 Oktober ini.