sukan

TFC lepaskan peluang berharga

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) patut menyalahkan diri sendiri selepas gagal merakam kemenangan menentang kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Biarpun mendahului 2-0, akhirnya skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu terpaksa akur terikat 2-2 sekali gus gagal mengutip tiga mata penuh pada aksi kedua Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

Pada saingan itu, TFC yang tewas pada aksi pertama kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC berjaya mendahului pelawat 1-0 menerusi pemain sayap lincah, Akhyar Rashid pada minit ke-20.

Jaringan itu berpunca daripada umpanan kapten, Safawi Rasid sebelum Akhyar melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Trinh Xuan Hoang.

Padang basah akibat hujan bagaikan memberi rahmat buat skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner selepas berjaya mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-40.

Jaringan itu terhasil menerusi rembatan padu pemain import, Manuel Ott dalam kotak penalti selepas mendapat umpanan daripada bek kanan, Muhammad Azam Azmi Murad.

Pada masa kecederaan babak pertama, menerusi sepakan percuma, skuad pelawat berjaya merapatkan kedudukan 1-2 hasil jaringan pemain import kelahiran Brazil, Luiz Soares yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Suhaimi Husin.

Memasuki minit ke-52, malang buat TFC apabila pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang cuba mengeluarkan bola dalam kawasan bahaya tertolak ke dalam gawang gol sendiri sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.

sumber:-BH

Kedudukan 2-2 itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad Penyu ‘berputih mata’ buat kali kedua berturut-turut untuk mengutip tiga mata penuh.