sukan

TFC masih tunggu import dari Brazil, Perancis, Cameroon

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tidak mahu terburu-buru menyenaraikan pemain import dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.

Ia bagi memastikan pemain yang ‘dirantai’ itu benar-benar berkualiti selain bagi mengelak mengikat pemain yang hanya sekadar mahu ‘makan angin’.

Bagaimanapun menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu sudah ada bayangan beberapa pemain import yang belum pernah menyarung jersi mana-mana pasukan Liga M.

“Berdasarkan perancangan barisan kejurulatihan, empat lagi baki tonggak import yang bakal memperkuatkan pasukan adalah dari Brazil, Perancis dan Cameroon.

“Pemain kelahiran Cameroon dan Perancis akan beraksi di posisi serangan manakala dua pemain kelahiran Brazil bermain di pertahanan dan tengah.

“Bagaimanapun ia belum dimuktamadkan lagi kerana proses rundingan dan melengkapkan dokumen masih belum selesai.

“Pada masa sama barisan kejurulatihan juga perlu mengikat kontrak pemain mengikut kemampuan kewangan bagi mengelak daripada berhutang sekali gus menjejaskan komitmen pasukan.

“Namun ia positif dan harap empat pemain berkenaan dapat tiba di Kuala Terengganu secepat mungkin,” kata sumber itu.

sumber:- BH

Terdahulu TFC sudah menyambung kontrak pemain kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selain membawa masuk dua bekas pemain Sri Pahang FC iaitu Saiful Jamaluddin dan Baqiuddin Shamsudin.