KUALA TERENGGANU: Badrul Afzan Razali menafikan kemenangan tipis 1-0 Terengganu FC (TFC) ke atas kelab Indonesia, PSM Makassar malam tadi adalah kerana nasib.
Ketua jurulatih itu sebaliknya menyifatkan ia kerana usaha keras pemainnya untuk memburu tiga mata bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN bagi merebut Piala Shopee.
Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kemaman itu mengakui anak buahnya tidak memperagakan aksi sebenar seperti ketika berdepan Johor Darul Ta’zim pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat lalu.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi, Safawi Rasid muncul watak penting pasukannya dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64.
“Tiga mata yang begitu bermakna buat pasukan, tapi saya akui pemain tidak beraksi seperti biasa kerana mereka nampak keletihan, penyudah pula agak tumpul biarpun berpeluang untuk menjaringkan gol.
“Kami lihat babak pertama corak permainan agak perlahan, tapi pada separuh masa kedua saya ingatkan pemain supaya tingkatkan lagi kualiti permainan.
“Alhamdulillah mereka berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Jaringan tunggal itu bukan gol nasib, tapi usaha berterusan pemain untuk memburu kemenangan bagi mengintai peluang mara ke separuh akhir,” katanya.
TFC akan bertemu pendahulu Kumpulan A, BG Pathum United pada aksi terakhir peringkat kumpulan di gelanggang lawan pada 5 Februari depan.
sumber:-BH
Mereka kini di tangga kedua, satu mata di belakang kelab Thailand itu.