Terengganu FC (TFC) berikrar untuk menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super musim ini dengan kemenangan.
TFC yang kini menghuni tangga kelima liga dengan mengumpul 18 mata bakal melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan 3-2 ke atas Imigresen FC Jumaat lalu bakal memberikan tonik yang begitu berharga buat pemainnya untuk memburu tiga mata di tempat sendiri.
Tambah jurulatih kelahiran Kemaman itu, kehadiran semula kapten skuad Sukan Sea kebangsaan, Ubaidullah Shamsul Fazili selain aksi terakhir ‘arkiteknya’ Nurillo Tukhtasinov juga bakal menaikkan lagi semangat anak buahnya.
“Sudah pasti kemenangan ke atas Imigresen FC di tempat lawan minggu lalu mampu menyuntik motivasi kepada pemain untuk menghadapi Sabah FC pada aksi terakhir nanti.
“Jadi saya meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain supaya terus kekal konsisten ketika beraksi untuk memburu tiga mata lebih-lebih lagi perlawanan itu bakal menjadi aksi terakhir Nurik (Tukhtasinov) bersama TFC,” kata Badrul Afzan.
Pada masa sama beliau akui sedikit bimbang dengan ancaman skuad lawan yang pastinya mahu bangkit daripada kekalahan kepada kelab Brunei, DPMM FC tempoh hari.
“Kami tahu Sabah FC bukan mudah untuk ditundukkan, skuad itu juga finalis Piala FA musim ini, perkara ini yang kami tegaskan kepada pemain biarpun mereka tewas kepada kelab Brunei baru-baru ini, jadi pemain perlu fokus.
“Berkenaan pemain yang cedera sebelum ini – Azam Azmi Murad, saya belum pasti boleh diturunkan ataupun tidak, namun dengan kembalinya Ubaidullah pasti bakal menambah lagi kekuatan di jentera pertahanan,” katanya.